Senyum lebar tidak lekang dari raut wajah seorang lelaki tua tatkala diberitahu rumah baharunya sudah siap untuk didiami selepas tiga hari terlibat dalam proses pembinaan.

Warga emas, Amak Masrudin, 65, yang cacat penglihatan tidak henti-henti meluahkan rasa syukur sebaik menerima berita gembira itu, yang mana beliau dan keluarganya sebelum ini terpaksa tinggal di dalam khemah susulan gempa bumi melanda Lombok Utara, baharu-baharu ini.

“Selepas gempa kami tinggal di dalam khemah di lapangan beberapa minggu sebelum kembali dan menetap di bahagian dapur rumah bersama sisa runtuhan batu-batu yang masih ada,” jelas bapa kepada tiga anak lelaki itu.

Lelaki berkenaan yang hilang penglihatan secara tiba-tiba sejak empat tahun lepas berkata hunian sementara (huntara) atau rumah sementara yang dibina dan disumbangkan oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia itu membolehkan beliau bersama isteri, Nuryati, 30, hidup lebih selesa di samping anak mereka yang berusia antara empat hingga 12 tahun.

“Anak masih kecil dan bersekolah, saya sudah tidak dapat bekerja sebagai petani selepas tidak nampak dan kini bergantung kepada isteri untuk menyara kami. Doktor memaklumkan penglihatan saya tidak dapat diubati kerana urat mata sudah putus.

“Alhamdulillah dan terima kasih kerana membina rumah untuk saya tinggal bersama keluarga, besar nilainya kepada kami di sini,” katanya.

Menceritakan detik ketika gempa bumi melanda kepulauan berkenaan, Amak Masrudin berkata beliau diselamatkan oleh isterinya dengan memimpinnya ke lapangan sebelum semuanya musnah dalam sekelip mata.

“Saya berada di rumah pada malam itu, isteri memimpin saya keluar dan pergi ke lapangan dengan segera sebelum rumah kami runtuh,” tambahnya.

Bagi Maruli, 30, beliau berasa bangga dan berterima kasih kepada GPM kerana keluarganya antara penerima pertama huntara berkenaan.

Pemuda yang menetap di Sumur Pandi, Desa Sesait, di sini berkata kini beliau membantu penduduk yang lain membina huntara mereka yang turut musnah selepas kejadian gempa berkenaan.

“Saya berasa lega apabila dapat rumah baharu sebab kini saya boleh tumpu bantu penduduk lain siapkan huntara mereka. Kami di sini bergotong-royong baiki rumah orang kampung bersama GPM… penduduk di sini dan relawan (sukarelawan) sudah seperti saudara kandung,” katanya dengan nada ceria.

Sementara itu, Ketua Misi GPM Ahmad Hamizan Ahmad Horman berkata pihaknya sudah membina 24 huntara bagi penduduk Lombok Utara, di sini sejak September lepas.

Menurutnya, kos untuk membina sebuah huntara dianggarkan mencecah sehingga RM5,000 mengikut keluasan rumah sementara berkenaan.

“Lagi enam huntara dalam proses pembinaan dan secara keseluruhan kami merancang untuk membina 30 huntara untuk penduduk Lombok Utara. Terima kasih juga kepada rakan tajaan kami yang lain iaitu Sinar Harian dan Yayasan Taqwa,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR