Kehangatan sambutan Deepavali kian dirasai bahangnya oleh masyarakat India di Malaysia, yang akan meraikan tanggal simbolik kebaikan mengatasi kejahatan itu pada Selasa.

Lee Mahendran ketika membuat lukisan Kolam sempena musim perayaan Deepavali tidak lama lagi di Wisma Bernama hari ini.
Pembuatan Kolam mengambil masa sekurang-kurangnya setengah jam bagi lukisan kecil yang memerlukan bahan seperti beras, tepung, hampas kelapa yang diwarnakan dengan pewarna makanan yang selamat untuk dimakan.
Corak merak, bunga dan lukisan abstrak sering menjadi pilihan orang ramai dan diwarnai mengikut kreativiti masing-masing.
Kolam menjadi perhiasan semasa Tahun Baru serta perayaan seperti Deepavali dan seperti majlis pertunangan, perkahwinan, pesta Ponggal upacara keagamaan atau sekadar hiasan dalam majlis kebudayaan. (Foto: Bernama)

Masyarakat India telah merayakan pesta cahaya ini sejak turun-temurun tetapi peredaran zaman dan arus permodenan membawa perubahan pada jiwa dan suasana sambutan itu. Ada yang mengeluh tidak semeriah seperti dahulu dan ada pula mengeluh generasi muda semakin lupa akan amalan tradisi masyarakat mereka.

Bagi S.Neelamegam, 55, terdapat banyak perbezaan sambutan Deepavali antara generasi terdahulu dan generasi sekarang.

“Sambutan Pesta Cahaya dahulu sungguh meriah kerana kami sanak saudara akan berkumpul dan melakukan persiapan secara bersama-sama.

Persiapan perayaan Deepavali (Foto: Bernama)

“Kami berlumba-lumba dengan jiran untuk menghias rumah dan kawasan sekitar dengan lampu hiasan dan pelita dan kaum hawa pula akan membuat reka bentuk kolam di lantai halaman rumah. Ia salah satu kenangan manis yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata kini kegembiraan sebegitu tidak dapat dirasai akibat peredaran zaman. Generasi muda kini tidak seperti dahulu dan lebih memilih untuk menyendiri.

Persiapan perayaan Deepavali (Foto: Bernama)

“Generasi muda kini hanya menyambut Deepavali dengan memakai pakaian baharu semasa hari istimewa itu dan menikmati masakan yang dimasak di rumah.

“Malah kebanyakan anak muda juga sudah tidak mengamalkan mandian minyak bijan dan serbuk sikakai di pagi Deepavali dan tidak juga ke rumah ibadat selepas meminta restu daripada orang tua di rumah,” katanya.

Neelamegam menegaskan bahawa setiap adat masyarakat India perlu dipelajari oleh generasi muda kini bagi diwarisi oleh generasi yang akan datang.

“Saya sendiri mengambil berat mengenai perkara ini. Saya menerapkan pada anak-anak saya apa yang saya belajar daripada ibu bapa saya,” katanya.

Persiapan perayaan Deepavali (Foto: Bernama)

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka dengan ilmu keagamaan agar mereka tidak melupakan identiti mereka sendiri.

Neelamegam turut menjelaskan amalan warisan turun-temurun ini akan menjadikan hubungan kekeluargaan lebih erat dan akan timbul sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Semangat kekeluargaan yang tinggi akan lebih memeriahkan suasana sambutan Pesta Cahaya, katanya.

“Sikap saling bantu-membantu antara ahli keluarga semasa persiapan festival ini akan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan ini sudah pasti akan menjadikan suasana perayaan lebih rancak dan meriah seperti zaman dahulu,” katanya.

Dua pekerja sedang membuat perhiasan lakaran kolam berbentuk burung merak di lobi pusat beli-belah terkemuka sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut 6 November ini. (Foto: Bernama)

Bagi G.Maniarasan, 24, lepasan kolej swasta, mengakui bahawa beliau turut merasai perubahan suasana sambutan Deepavali sekarang ini.

“Walaupun kita boleh melihat kehangatan persiapan sambutan Deepavali yang dilakukan oleh masyarakat India tetapi suasana sambutannya tidak semeriah dahulu. Terdapat perbezaan yang amat ketara pada sambutan Deepavali dahulu berbanding kini.

“Dahulu kita dapat melihat semangat kekeluargaan yang erat dengan semua ahli keluarga berkumpul bersama-sama untuk meraikan festival itu tetapi kini ramai tidak melakukan perkara sebegitu akibat kekangan masa,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa dahulu penghantaran kad ucapan Deepavali satu yang mesti tetapi kini ucapan dihantar melalui aplikasi media sosial sahaja akibat peredaran zaman serta kecanggihan teknologi.

Malah, Maniarasan turut bersetuju bahawa ramai antara rakan sebaya beliau tidak mengamalkan adat dan tradisi yang diwarisi sejak turun temurun.

Lee Mahendran (tangannya) ketika membuat lukisan Kolam sempena perayaan Deepavali tidak lama lagi di Wisma Bernama hari ini.
Pembuatan Kolam mengambil masa sekurang-kurangnya setengah jam bagi lukisan kecil yang memerlukan bahan seperti beras, tepung, hampas kelapa yang diwarnakan dengan pewarna makanan yang selamat untuk dimakan.
Corak merak, bunga dan lukisan abstrak sering menjadi pilihan orang ramai dan diwarnai mengikut kreativiti masing-masing.
Kolam menjadi perhiasan semasa Tahun Baru serta perayaan seperti Deepavali dan seperti majlis pertunangan, perkahwinan, pesta Ponggal upacara keagamaan atau sekadar hiasan dalam majlis kebudayaan. (Foto: Bernama)

“Kebanyakan generasi muda kini hanya melihat Deepavali ini sebagai cuti tambahan dan tidak menganggapnya sebagai satu perayaan yang cukup bermakna.

“Ramai anak muda kini tidak mengamalkan mandian minyak bijan di pagi perayaan, meminta restu daripada ibu bapa dan lebih memilih untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan berbanding keluarga,” katanya.

Katanya ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik generasi muda tentang erti sebenar sambutan Deepavali agar adat dan tradisi ini tidak ditelan zaman.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR