Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan supaya aktiviti penebangan hutan yang dijalankan bagi kerja pembinaan menara dan pemasangan talian penghantaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Janda Baik dilakukan secara berhati-hati.

Tengku Abdullah bertitah, pihak yang terlibat perlu memastikan kerja penebangan hutan bagi membuat laluan itu tidak terkeluar daripada kawasan yang dibenarkan.

“Beta nampak banyak isu mengenai pembalakan, banyak kain rentang (mengenai pembalakan) hakikatnya hanya 250 hektar yang telah diluluskan untuk membuat jalan.

Kerja penebangan balak perlu dilakukan dengan berhati-hati jangan melebihi kelulusan dan kurangkan penebangan di kawasan yang tidak perlu bagi menjayakan projek itu,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian semasa sesi taklimat sempena lawatan baginda ke Janda Baik di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pada majlis itu baginda turut diberi taklimat oleh beberapa jabatan dan agensi teknikal terlibat di dalam projek berkenaan.

Projek pembinaaan menara dan pemasangan talian penghantaran TNB di Janda Baik merupakan sebahagian daripada projek pembinaan infrastruktur penghantaran bekalan elektrik sejauh 513 kilometer dari Air Tawar, Perak ke Yong Peng, Johor bernilai RM1.5 bilion.

Projek yang bermula pada 2015 dijangka siap pada 2020 adalah penting bagi menampung keperluan bekalan tenaga khususnya di bahagian tengah Semenanjung Malaysia.

Baginda juga bertitah apa sahaja projek yang dijalankan perlulah mengambil kira pandangan warga tempatan dan diperjelaskan kepada mereka.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata projek pembinaan menara dan pemasangan talian penghantaran TNB yang dibangunkan merentasi Kampung Janda Baik, adalah projek yang memberi kepentingan kepada negara.

Menurutnya, projek yang melalui kampung Janda Baik diputuskan selepas mengambil kira kesan paling minimum diterima berbanding sekiranya melalui kawasan Hutan Simpan Lentang, kawasan tanah tinggi dan kawasan pembangunan sedia ada.

“Tidak ada isu besar cuma sikit isu yang bersifat sementara…ia tidak dapat dielak bila kerja buat laluan bekalan tenaga TNB ini.

Bagaimanapun kita berharap gangguan sementara ini kesannya minimum dan akan kembali pulih seperti biasa,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR