Pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu telah mengesan isyarat yang mungkin berasal daripada sebuah kotak hitam pesawat penumpang Lion Air Indonesia yang terhempas pada Isnin, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai penyelamat.

Ketua bahagian Teknologi Survei Marin Agensi Teknologi dan Penyelidikan Indonesia, M. Ilyas berkata kapal agensi itu, Baruna Jaya I, telah mengesan isyarat yang dipercayai berasal daripada kotak hitam pesawat JT610 Lion Air yang terhempas ke dalam laut berhampiran Karawang di wilayah Jawa Barat pada pagi Isnin.

Pegawai itu berkata sebuah kenderaan kendalian jarak jauh telah dilepaskan bagi mengesan visual objek dari mana isyarat itu berasal.

Beliau berkata tiga objek telah dikesan sekitar bangkai pesawat, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan fiuslaj dan kotak hitam.

Pesawat itu dalam perjalanan ke bandar Pangkal Pinang dengan membawa 189 orang ketika ia dilaporkan hilang daripada radar kira-kira pukul 6.30 pagi waktu tempatan pada Isnin (2330 GMT Ahad).

Ia dipercayai terhempas 13 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.

Kesemua 189 orang yang berada dalam pesawat malang itu dikhuatiri maut apabila hanya cebisan tubuh manusia dan serpihan bangkai pesawat ditemui setakat ini di kawasan perairan berhampiran Kabupaten Karawang.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR