Fokus pencarian pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lepas, hari ini bertumpu di satu koordinat yang dikesan isyarat ‘ping’ dari kotak hitam pesawat itu.

Ketua Kesiapsagaan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata empat kapal yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu yang memiliki teknologi sonar, telah mengesan isyarat “ping” di koordinat sama di perairan Tanjung Karawang.

“Sejak petang semalam, operasi mengesan dilakukan tapi gagal, berlaku arus kuat di kawasan dasar laut di perairan itu,” katanya dipetik dari temubual khas bersama stesyen televisyen tempatan, Metro TV pagi ini.

Bagi operasi hari keempat hari ini, pasukan SAR telah meminta kebenaran untuk menurunkan sauh kapal di kawasan itu bagi menstabilkan kapal operasi sebelum para penyelamat menyelam ke dasar laut yang kedalamannya 30 hingga 35 meter itu.

“Kami telah meminta kebenaran daripada pihak Pertamina (Perusahaan Pertambangan Minyak dan Gas Bumi Indonesia) kerana terdapat paip-paip gas dan minyak di kawasan itu, langkah-langkah keselamatan akan diutamakan,” katanya.

Berkenaan operasi semalam, beliau berkata para penyelam telah menemui beberapa serpihan pesawat dan barang-barang milik dipercayai milik penumpang pesawat itu di dasar laut perairan berkenaan.

“Para penyelam menghadapi kesukaran kerana arus deras di bawah laut, selain jarak penglihatan ketika menyelam hanya dua hingga tiga meter sahaja,” katanya. Setakat ini, beliau berkata sebanyak 56 kantung jenazah yang berisi cebisan-cebisan anggota badan telah dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia (Polri) untuk proses pengecaman.

Penerbangan JT610 itu membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal itu terhempas selepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Global

VIDEO POPULAR