Seorang penganggur dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri sebuah motosikal, tiga hari lepas.

Majistret Namirah Hanum Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Ghani Mohd Sheriff, 45, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh didakwa mencuri motosikal jenis Demax Ex 90, milik pengawal keselamatan Khairul Nizam Arif, 43, di kawasan tempat letak kenderaan di hadapan Bilik Kawalan Southgate, Jalan Chan Sow Lin 2, Cheras di sini pada 3.50 pagi, 29 Okt lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara tidak kurang dari satu tahun dan maksimum tujuh tahun, jika sabit kessalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Mohd Ghani yang tidak diwakili peguam dan memakai topeng muka semasa prosiding merayu hukuman ringan atas alasan menghidap penyakit tibi dan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu dia mempunyai masalah tulang kaki menyebabkan pergerakannya terbatas.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR