Media Prima Digital, cabang inovasi, pemasaran digital dan teknologi Media Prima Bhd telah bekerjasama dengan syarikat e-sukan tempatan, Kitamen untuk merangsang industri e-sukan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rafiq Razali, berkata Media Prima Digital dan Kitamen akan bekerjasama untuk mendidik, memupuk dan memberi pendedahan mengenai industri tersebut kepada orang ramai.

“Permainan video di Malaysia bernilai antara RM600 juta hingga RM700 juta setahun manakala e-sukan bernilai hanya sebahagian kecil tetapi berkembang dengan pesat dan kita melihat potensi besar dalam industri ini,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani memorandum persefahaman ( MoU) bagi kerjasama berkenaan di sini, hari ini.

Kitamen diwakili CEOnya, Hazman Hassan.

Majlis tersebut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Datuk Yasmin Mahmood.

Rafiq berkata, kerjasama itu sejajar dengan strategi syarikat untuk mencari rakan kongsi bagi mengukuhkan cadangan kandungannya kepada khalayak yang lebih luas.

Sementara itu, Hazman berkata, industri e-sukan di Malaysia semakin menarik minat daripada semua lapisan masyarakat.

“Kami melihat minat yang kukuh dari semua lapisan masyarakat termasuk komuniti permainan akar umbi, organisasi korporat, kerajaan dan orang awam,” katanya.

Melalui MoU tersebut, Media Prima Digital akan menyediakan akses kepada platform yang termasuk digital, tv, cetak dan radio untuk digunakan bagi mempromosi semua inisiatif permainan serta kepakaran penyiaran berhubung dengan perkhidmatan streaming secara langsung yang betul.

MoU itu juga membolehkan Kitamen menggunakan aset dalaman Media Prima dan memanfaatkan peristiwa berskala besar di lapangan.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR