Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan buku mewah ‘Songket dan Keringkam: Warisan Melayu Sarawak’ sempena Eksposisi dan Pameran Songket dan Keringkam Antarabangsa 2018 di sini.

Pelancaran buku itu disempurnakan beliau semasa Malam Pesona Songket dan Keringkam Antarabangsa yang diadakan di sini malam ini.

Buku Mewah ‘Songket dan Keringkam: Warisan Melayu Sarawak’ hasil tulisan Suhana Sarkawi, Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim dan Dr Nadianatra Musa itu memaparkan keunikan, kehebatan, tatacara pemakaian, motif, falsafah serta inovasi produk songket dan keringkam Sarawak yang diangkat martabatnya melalui penyelidikan mendalam.

Buku terbitan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan hakcipta dimiliki Kerajaan Negeri Sarawak itu dibahagikan kepada beberapa bahagian (bab) yang dinamakan sempena nama motif pada produk tekstil Melayu Sarawak.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tranformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datuk Dr Sabariah Putit merangkap Pengerusi Malam Pesona Songket dan Keringkam Antarabangsa 2018.

Eksposisi dan Pameran Songket dan Keringkam Antarabangsa yang bermula semalam telah disertai oleh 11 pempamer, penenun dan penjual dari Sarawak, enam penenun dari Indonesia dan empat dari Brunei bertujuan sebagai platform untuk pengeluar produk dan perkhidmatan mempromosikan produk mereka yang disediakan menerusi program pembangunan holistik.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR