Kementerian Pertahanan telah menerima laporan awal Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang menjalankan siasatan terhadap beberapa kes dan pembelian aset yang mencurigakan dalam kementerian itu ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menterinya Mohamad Sabu bagaimanapun berkata laporan berkenaan hanya akan didedahkan kepada umum selepas kementerian menerima laporan kedua daripada jawatankuasa yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang itu dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Jawatankuasa yang diketuai Tan Sri Ambrin ini amat berwibawa, saya yakin penuh laporan ini berwibawa, saya akan dedahkan maklumat ini selepas laporan kedua tiga bulan akan datang (diterima).

Ada yang spekulasi selama ini hanya berbentuk tuduhan, ada (tuduhan) yang ada faktanya… kita akan hebah mana yang boleh dihebah, itu bergantung kepada syor daripada jawatankuasa ini sebab kementerian ini sensitif terhadap perkara terutama melibatkan hal-hal keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Mohamad, beliau meminta jawatankuasa yang ditubuhkan Kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei lalu memulakan siasatan di kementeriannya terlebih dahulu kerana tidak mahu tuduhan-tuduhan yang dilemparkan menjejaskan semangat warga kementerian berkenaan.

“Dengan siasatan ini, pihak kementerian dan kakitangannya sekarang berada dalam semangat tinggi untuk bekerja bagi menjaga keamanan dan mempertahankan keselamatan negara,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Mohamad berjanji akan menyiasat segala dakwaan mengenai skandal dikaitkan dengan kementerian itu.

Ini termasuklah isu dua unit kapal selam Scorpene yang mencetuskan kontroversi serta pembaziran dan dakwaan salah guna kuasa melibatkan pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR