Malaysia menggesa dipertingkatkan lagi kerjasama global bagi membolehkan ancaman dan risiko keselamatan siber dikendalikan dengan sebaik mungkin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, yang membuat gesaan itu berkata insiden membabitkan keselamatan siber adalah melangkaui negara, melangkaui sempadan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan dasar yang disampaikan pada Persidangan Penuh 2018 (PP-18) Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Dubai. Mesyuarat itu berlangsung sejak semalam sehingga 16 Nov.

“Dunia memerlukan langkah praktikal dan bersepadu untuk mengendalikan keselamatan siber dengan sebaik mungkin. Lebih ramai orang dihubungkan, akan berlaku lebih banyak insiden. Oleh itu, wujud keperluan bagi pembuat dasar dan pengawal selia dasar telekomunikasi dan ICT untuk melakukan lebih banyak lagi berhubung insiden siber yang semakin meningkat saban hari.

“Ini adalah antara sebab kenapa kita berada di sini hari ini, untuk mencari cara dalam mengendalikan semua ini, pada skala global,” katanya kepada audien yang terdiri daripada menteri, pembuat dasar dan pengawal selia telekomunikasi dan ICT daripada seluruh dunia.

Gobind Singh memberikan contoh insiden keselamatan siber seperti serangan WannaCry ransomware pada 2017 dan pecah amanah keselamatan Facebook baru-baru ini yang mendedahkan akaun 50 juta pengguna, yang telah memberikan impak besar di peringkat global yang mengakibatkan perkara itu kini menjadi perkara biasa.

Beliau mengakui bahawa walaupun sesetengah langkah itu telah dilaksanakan oleh ITU, mereka yang mempunyai niat tidak baik turut cenderung menjadi lebih kreatif untuk memintasi undang-undang.

“Soalan untuk kita semua adalah, apa kita lakukan, sepertimana ITU, perlu lakukan untuk menangani ini Kita perlu sedar bahawa anggota ITU yang bertanggungjawab bagi Internet, iaitu enjin yang memacu ekonomi digital global,” katanya.

Gobind Singh juga berkata anggota ITU perlu terus menyediakan infrastruktur, menambah baik kualiti perkhidmatan dan keupayaan, serta memacu transformasi.

“Mereka perlu sedar bahawa lebih ramai warganegara mereka kini dapat berhubung, lebih banyak insiden akan berlaku. Oleh itu, wujud keperluan untuk ITU bertindak pantas dan melakukan lebih banyak lagi untuk menangani insiden siber,” katanya.

Beliau turut mengimbas keadaan apabila Penerbangan MH370 dilaporkan hilang empat tahun lepas, Persidangan Penuh ITU pada 2014 telah memberi respons segera terhadap permintaan Malaysia bagi bantuan, dan hasilnya kini semua penerbangan komersial mampu dikesan pada masa sebenar, menunjukkan ITU boleh bergerak pantas untuk menangani isu-isu demi faedah lebih baik.

“Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan. Sementara kita membuka pelbagai kemungkinan kepada warganegara dunia, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk beri perlindungan, dan tanggungjawab itu amat besar. Malaysia akan menghulurkan kerjasama penuh dalam perkara ini. Bersama-sama, kita mesti menjadikan ruang siber sebagai tempat yang selamat,” katanya.

Ditubuhkan pada 1865, ITU ialah agensi khas Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi telekomunikasi dan ICT.

Persidangan Penuh, diadakan setiap empat tahun dan dihadiri oleh kira-kira 2,500 perwakilan daripada 193 negara anggota ITU, adalah badan pembuat keputusan tertinggi ITU yang menentukan hala tuju ITU bagi kitaran empat tahun akan datang, dan memilih pegawai tinggi dan badan kawal selianya.

PP-18 adalah Persidangan Penuh ITU Ke-20.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Nasional

VIDEO POPULAR