Proses penghantaran pulang lelaki warga Syria, Hassan Al Kontar yang tinggal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak Mac lepas dan ditahan polis pada 1 Okt dijangka selesai dalam tempoh dua bulan.

Tanpa mendedahkan ke negara mana Hassan akan dihantar, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata buat masa ini proses perbincangan dengan pihak kedutaan negara itu sedang dilaksanakan.

“Kita telah berbincang dengan kedutaan yang bersedia untuk ambil dia (Hassan) dan ini bukanlah proses pengusiran tetapi proses penghantaran.

“Negara berkenaan telah setuju ambil dia dan negara itu perlu laksanakan beberapa proses daripada segi kemasukan ke negara berkenaan,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Anti-Rasuah 2018 di sini, hari ini (30hb).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali. (Foto: Bernama)

Hassan, 36, ditahan polis kerana berada di ‘kawasan yang dilarang’ di klia2 dan direman selama 14 hari.

Pada 4 Okt, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata Hassan akan dihantar pulang ke negara asalnya dalam tempoh terdekat.

Mohd Azis dilaporkan berkata langkah itu terpaksa diambil setelah Hassan menolak untuk tinggal di beberapa negara anggota ASEAN yang sudi menerimanya dan hanya mahu ke Kanada yang menetapkan dia hanya boleh memasuki negara berkenaan dalam masa dua tahun dari sekarang.

Sementara itu, Mustafar berkata pelbagai program seperti kursus transformasi minda dilaksanakan bagi memastikan pegawai dan anggota imigresen mempunyai integriti yang tinggi.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat rasuah…jangan sesekali dekati rasuah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seramai 1,102 majikan yang disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

(Video: Hassan Al Kontar Youtube)

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR