MISC Bhd (MISC), menerusi usaha sama 51 peratus miliknya dengan PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC) – Malaysia Vietnam Offshore Terminal (L) Limited (MVOT) – diberikan kontrak penyewaan mengikut tempoh oleh Idemitsu Kosan Co, Ltd (IKC) bagi pembekalan kapal penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO) di Vietnam.

Mengikut kontrak ini, yang bernilai kira-kira US$176 juta, MVOT akan bertanggungjawab terhadap kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan, pentauliahan, pajakan dan pengoperasian FSO tersebut.

Kontrak itu diperolehi melalui proses bidaan kompetitif antarabangsa dan menjadi usaha pertama MISC dengan IKC, menurut MISC dalam kenyataan hari ini.

MISC berkata, selepas pengubahsuaian dijalankan, FSO tersebut akan ditempatkan bagi projek Pembangunan Sao Vang dan Dai Nguyet di Blok 05-1b dan 05-1c, luar pesisir Vietnam dan ia akan dipajakkan selama tujuh tahun.

Kontrak dan sewaan itu dijangka bermula pada pertengahan 2020.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Yee Yang Chien berkata pihaknya gembira atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk bekerjasama dengan IKC dalam pembangunan industri minyak dan gas Vietnam.

“Berdasarkan penyelesaian dan perkhidmatan maritim berkaitan tenaga kami yang meluas, sama ada penyelesaian penghantaran tenaga atau luar pesisir, MISC yakin dengan keupayaannya untuk menyediakan pelbagai kemudahan dalam industri minyak dan gas dunia,” katanya.

PTSC, sebuah syarikat diperbadankan di Vietnam, merupakan unit Vietnam Oil & Gas Group serta menjalankan terutamanya pembekalan perkhidmatan teknikal kepada industri minyak dan gas di Vietnam.

IKC, pula firma diperbadankan di Jepun, terlibat dalam penapisan dan pengeluaran petroleum; jualan produk minyak; pembuatan dan jualan produk petrokimia di samping cari gali, pembangunan dan pengekstrakan sumber petroleum, arang batu dan geoterma.

MISC memiliki pengalaman hampir 10 tahun dalam pembangunan luar pesisir Vietnam menerusi perkongsian usaha sama dengan PTSC dan ketika ini mengoperasikan dua aset terapung iaitu FSO Orkid dan kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO), FPSO Ruby II.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Gaya Hidup

VIDEO POPULAR