Menteri Wilayah Khalid Samad berharap peruntukan tambahan akan diumumkan bagi pembangunan di Labuan dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Jumaat ini.

Peruntukan itu katanya perlu bagi membangunkan pelbagai industri di wilayah itu termasuk pelancongan, perikanan dan hub halal. 

“Saya mengharapkan peruntukan lebih kepada Labuan kerana jika dibandingkan, memang di antara Putrajaya dan Kuala Lumpur, Labuan merupakan wilayah yang kurang mendapat usaha untuk pembangunan pesat sedangkan negeri itu kaya dengan pelbagai industri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini. 

Khalid berkata Belanjawan 2019 yang julung kali akan dibentang kerajaan Pakatan Harapan itu juga diharap memberi peruntukkan menambah baik kemudahan pengangkutan di Kuala Lumpur dengan memperbanyakkan akses pengangkutan awam ke kawasan tempat kerja, bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. 

Dalam pada itu, menjawab dakwaan penyalahgunaan kuasa susulan majlis anjuran parti AMANAH yang diadakan di premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi parti itu berkata dewan itu disewa oleh AMANAH Wilayah Persekutuan dan tidak digunakan secara percuma. 

“Biasalah, banyak dewan-dewan boleh disewa yang milik DBKL. Semalam dewan itu telah disewa oleh AMANAH Wilayah Persekutuan untuk melancarkan pejabat barunya kerana pejabat barunya kecil, kita tidak mempunyai dewan besar, dan oleh kerana itu kita terpaksa menyewa dewan di luar.

“Kita sewa, bukan kita guna secara percuma. Itu budaya UMNO, bukan budaya kita. Kita guna harta kerajaan tapi kita bayarlah, seperti yang sepatutnya,” katanya bagi menjawab dakwaan yang dibuat bekas ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Razlan Rafii.

Mohd Razlan dalam catatannya di Twitter semalam mendesak pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Pakatan Harapan berhubung penggunaan dewan berkenaan. 

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR