Kalau dah menjadi selebriti ni, penampilan dan gaya hidup kita perlulah dititik berat. Malah, lebih molek jika selebriti menunjukkan contoh yang baik kerana segala tindak-tanduk mereka kadangkala menjadi ikutan para peminat.

Bagi Nad Zainal, dia memberitahu bahawa dulu dia mempunyai tabiat yang kurang baik. Apanya tu? Kata Nad, sejak usia remaja lagi dia memang gemar menikmati minuman berkarbonat. Semua orang pun tahu kan yang minuman sebegitu mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Dia tidak mengendahkan pun kesan minuman tersebut terhadap tubuh badannya. Namun segalanya berubah apabila dia sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata. Sejak daripada itulah Nad mula mengambil berat tentang kesihatan dan penampilan dirinya.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin telah medirikan rumah tangga pada 18 Disember 2015 dengan Muhammad Faliq Amirudin. Mereka telah dikurniakan seorang anak lelak, Fahad Ibrahim yang sudah berusia dua tahun.

Nad memberitahu, dulu dia memang selalu mengalami masalah kulit terutama pada wajahnya yang mudah berjerawat. Kemudian, apabila dia membuat keputusan untuk mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat, perlahan-lahan dia mula melihat perubahan yang ketara pada struktur kulitnya.

Selain menahan diri daripada mengambil minuman yang pernah menjadi kegemarannya itu, Nad juga melakukan inisiatif lain dengan kurang mengambil makanan bergoreng, selain coklat dan telur. Hasilnya, kulit wajah pelakon berbakat ini semakin baik. Malah, dia tidak perlu lagi mengeluarkan belanja yang besar semata-mata untuk merawat kulitnya.

Nad bersyukur kerana dua buah drama lakonannya iaitu ‘Dosa Perempuan’ dan ‘Fatonah Azali’ telah tersenarai dalam pencalonan Anugerah Skrin (ASK) 2018. Kata Nad, dia sukar meramalkan peluangnya untuk menang kerana kebanyakan drama mengangkat tema yang hampir sama. Dia menyerahkan segalanya kepada rezeki.

Share
Kategori: Wanita

VIDEO POPULAR