Dua pelumba Petronas Sprinta Racing – Adam Norrodin dari Malaysia dan pelumba Jepun Ayumu Sasaki, masing-masing meraih sembilan dan enam mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan ke-10 pada kejuaraan MotoGP Australia 2018 di Litar Phillip Island, hari ini.

Bersaing dalam kategori Moto3, Adam mencatat 37 minit 48.261 saat, manakala Sasaki merekod 37:48.479s pada perlumbaan sejauh 23 pusingan tersebut.

Pelumba Sepanyol, Albert Arenas yang mewakili Angel Nieto Team Moto3, menjuarai perlumbaan itu dengan catatan 37:48.073s, manakala dua pelumba Italia – Fabio Di Giannantonio daripada pasukan Del Conca Gresini Moto3 dan pelumba SKY Racing Team VR46, Celestino Vietti menduduki tempat kedua dan ketiga, apabila masing-masing ketinggalan 0.052 dan 0.059 saat di belakang juara tersebut.

Adam yang memulakan perlumbaan di petak ke-13, gembira dapat menamatkan saingan tersebut pada kedudukan 10 teratas.

“Sudah semestinya, saya gembira menamatkan saingan di kedudukan 10 teratas dan mendapat beberapa lagi mata. Perlumbaan ini sangat sukar, jadi saya berharap dapat terus memberi saingan di laman sendiri pada Grand Prix minggu depan (di Litar Antarabangsa Sepang),” katanya seperti dipetik dalam laman sesawang pasukan, www.sicracingteam.com.

Sementara itu, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berdepan insiden malang apabila enjin motosikalnya mengalami masalah ketika menduduki tempat kelapan semasa pusingan ke-19, manakala pelumba Moto2 Malaysia, Khairul Idham Pawi mewakili Idemitsu Honda Team Asia, gagal mengutip sebarang mata selepas menduduki tempat ke-16 daripada 22 pelumba.

Saingan MotoGP 2018 akan diteruskan dengan baki dua perlumbaan – MotoGP Malaysia minggu depan dan GP Valencia di Sepanyol dari 16 hingga 18 Nov.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR