Seorang bapa dan anak lelakinya maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kahang Barat dekat Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata kemalangan berlaku kira-kira 4 petang itu menyebabkan Mohd Khiril Bablihisham Kamalruzaman, 27, dan anaknya Muhammad Syah Ghazi Mohd Khiril Bablihisham, 5, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dipercayai kejadian berlaku apabila kereta Perodua Kancil dipandu Mohd Khiril Bablihisham dari arah Kluang menghala ke Kahang Barat itu memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori dari Kahang Barat menuju ke Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Abduh berkata pemandu lori tersebut iaitu seorang lelaki berumur 33 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kemalangan terbabit berlaku ketika hujan lebat dan lokasi kejadian merupakan kawasan selekoh.

Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat kedua beranak yang berasal dari Kota Tinggi itu dibawa ke Hospital Besar Enche’ Hajah Khalsom Abdullah, di sini, untuk bedah siasat.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR