Pembudayaan sukan di sekolah dalam kalangan masyarakat Orang Asli menerusi Kejohanan Sukan Sekolah Murid Orang Asli (KSSMOA) dilihat mampu menyubur minat terhadap sukan sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat.

Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd Salleh berkata seramai 478 murid Orang Asli berumur bawah 12 tahun dari tujuh negeri termasuk Johor, Pahang dan Perak terlibat dalam KSSMOA yang berlangsung selama lima hari bermula 22 Okt lalu.

Beliau berkata kerjasama di antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam penganjuran KSSMOA tersebut memasuki tahun kelima penajaan daripada pihak yayasan.

“Kejohanan ini merupakan platform terbaik untuk meningkatkan penyertaan murid Orang Asli dalam aktiviti sukan sekali gus dapat merealisasikan hasrat Sasar 1 Murid 1 Sukan serta mewujudkan integrasi antara mereka.

“Kejohanan ini diharap dapat membantu masyarakat Orang Asli yang merupakan salah satu usaha untuk memperkasa masyarakat itu melalui program pembangunan modan insan yang komprehensif,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Shukry berkata antara sukan yang dianjurkan menerusi KSSMOA adalah bola sepak, bola baling, sepak takraw serta ragbi sentuh atau dikenali sebagai ragbi ‘Rimau’ yang mana pemenang menerima pingat, piala pusingan serta sijil penyertaan.

Tambahnya, Yayasan Bank Rakyat memperuntukkan RM209,000 bagi penganjuran kejohanan tersebut seiring dengan komitmen yayasan untuk meningkatkan taraf pendidikan melalui sudut yang berlainan.

Katanya para peserta turut dibawa melawat ke taman tema Legoland Malaysia yang juga salah satu proses pembelajaran dari segi rekaan dan binaan bongkah.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR