Kenapa kita suka melihat pelangi yang berwarna-warni? Ada juga di antara kita yang suka mengembara ke serata dunia demi melihat pemandangan negara luar yang mengagumkan. Melihat waktu senja ketika matahari mula terbenam di tepi pantai juga menjadi tarikan untuk diri kita. Jadi memang benarlah, manusia sukakan keindahan. Keindahan itu magnet bagi pandangan mata kita. Hati akan berasa tenang, damai dan gembira apabila melihat sesuatu yang menarik pandangan mata.

Ahli falsafah Yunani yang agung, Plato (427-347 sm) meninggalkan satu persoalan yang perlu kita tafsir. Ia tentang keindahan dan kecantikan. Kenapa kita nampak sesuatu itu cantik di mata kita? Kenapa sejambak bunga itu nampak lebih indah berbanding selonggok sampah?

Bagi Plato, kita sukakan sesuatu yang cantik kerana tarikan yang terdapat padanya. Ia seolah-olah membisikkan kebenaran yang penting tentang kehidupan kita. Sesuatu itu indah kerana tanpa kita sedari, kualiti yang terdapat dalam perkara atau benda yang kita pandang itu telah hilang daripada kehidupan kita.

Oleh itu, hati kita akan sentiasa mencari-cari kekosongan itu. Apabila terpandang sesuatu yang indah, jiwa yang kosong itu bagai terisi. Dalam karya ‘The Phaedrus’ yang dikarang oleh Plato, beliau menyatakan apabila kita merenung kecantikan ia membolehkan jiwa mendapat sayap.

Namun, kecantikan itu bersifat subjektif. Indah pada mata kita, tidak semestinya menjadi tarikan kepada orang lain. Setiap orang mempunyai pandangan tentang kecantikan. Ada lelaki yang sukakan perempuan yang berkulit cerah dan tinggi. Ada pula perempuan yang sukakan lelaki yang berbadan sasa dan berkulit sawo matang. Ini semua bergantung kepada nilai perasaan dalam diri mereka.

Oleh itu, setiap kali ternampak sesuatu yang cantik, renunglah ia sehingga masuk ke dalam jiwa. Biar ia mengajar kita tentang kehidupan dan memberikan kebahagiaan dalam diri. Namun, jangan pula anda berdiri macam patung-patung di tengah sawah padi ketika ternampak seorang gadis yang cantik. Lain pula jadinya!

Walau apapun definisi dan pandangan kita tentang keindahan, perkara paling penting ialah pandanglah kehidupan ini dengan positif. Hanya dengan itu, jiwa kita akan berasa tenteram dan bahagia. Pandanglah semua perkara dengan pendangan yang ‘indah’, agar kita tidak terbeban dengan buruk sangka, sakit hati dan kemarahan.

Share
Kategori: Budaya

VIDEO POPULAR