Penguasaan bahasa Inggeris sangat penting bagi menghadapi dunia yang terhubung melalui alam siber, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin.

Beliau berkata banyak lepasan universiti tidak mendapat pekerjaan kerana tidak mampu membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris, terutama mereka daripada jurusan sains sosial.

Justeru, Manyin menggesa pelajar di negeri ini, sama ada yang sedang menuntut di peringkat sekolah menengah atau universiti supaya mempelajari dan menguasai bahasa Inggeris bagi memastikan mereka mendapat tempat di pasaran pekerjaan.

“Sekiranya anda hanya mampu menguasai bahasa Melayu, anda hanya akan mendapat pekerjaan di jabatan dan agensi kerajaan tetapi jika anda boleh menguasai bahasa Inggeris, anda juga akan diambil bekerja oleh syarikat multinasional,” katanya pada majlis penutup Hari Terbuka Kolej Vokasional Kuching 2018 di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa supaya menggalakkan anak masing-masing memasuki sekolah vokasional untuk mengikuti pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) kerana mereka yang terlatih dalam bidang itu dijangka mendapat permintaan tinggi dalam masa lima hingga tujuh tahun akan datang dan mendapat gaji lebih tinggi, berbanding mereka bekerja dengan jabatan atau agensi kerajaan.

“Hari ini, seseorang itu dibayar gaji berdasarkan CV yang menarik (memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana), tapi pada masa akan datang, seseorang itu akan diberi gaji berdasarkan kemampuannya menyumbang kepada organisasi,” kata beliau.

Manyin berkata sektor pendidikan Malaysia masih berada dalam Revolusi Industri 2.0, sedangkan negara lain sudah berada dalam Revolusi Industri 4.0.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR