Kerajaan disaran merangka mekanisma untuk meningkatkan sumbangan hasil industri komoditi negara terutama petroleum di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) sekiranya harga minyak terus meningkat.

“Dengan pemulihan harga minyak kini berikutan ketegangan baru yang berlaku di Timur Tengah, sekiranya harga minyak pulih dan mencecah US$100 atau lebih tinggi satu tong, sebuah mekanisma sumbangan yang lebih bermakna mesti dirangka kerajaan. 

“Hasil komoditi kita besar bukan sahaja melalui petroleum tetapi juga minyak sawit, maka kita boleh meletakkan hasil sawit daripada syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby dan Felda Global Ventures untuk disalurkan ke KWAN,” kata Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa). 

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Dewan Rakyat, hari ini. 

Nik Nazmi berkata, jumlah aset KWAN setakat tahun 2016 berjumlah RM15.4 bilion. 

“Kejatuhan harga minyak pada tahun 2014 ke 2016 menunjukkan kelemahan negara dalam mengatasi kebergantungan kepada sumber asli. 

“Kita seharusnya meningkatkan kadar sumbangan ke KWAN seperti Government Pension Fund of Norway. Dana Norway ini mencecah US$1 trilion dari segi aset sedangkan hutang dan liabiliti negara kita mencecah RM1 trillion,” jelasnya.

KWAN ditubuhkan pada 18 Februari 1988 di bawah Akta KWAN 1988 dengan objektif untuk memastikan penggunaan optima hasil sumber asli negara yang menyusut agar dapat memberi sumbangan berterusan dan stabil untuk faedah negara dan generasi akan datang. 

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR