Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Sembilan hari ini menandatangani perjanjian kontrak jual beli atau ‘Forward Agreement’ (FA) cili kulai dengan Ladang Cili Kulai Mook Fook Chuan di Gemas.

Pengarah Fama Negeri Sembilan Muslim Manja (he) berkata perjanjian itu melibatkan kawasan seluas 7.2 hektar dengan anggaran hasil 43,200 metrik tan bernilai RM260, 000.

“Kita tahu pengeluaran cili kulai sedia ada tidak boleh menampung keperluan pengguna kerana kebanyakan cili diimport dari luar negara seperti Vietnam. Jadi pihak kami ingin menggalakkan pengusaha-pengusaha menanam cili tempatan jenis kulai dan kulai minyak untuk pasaran tempatan.

“Melalui perjanjian jual beli ini, ia dapat memberi jaminan pasaran kepada pengusaha kerana produk yang dikeluarkan akan dijamin oleh pihak Fama sendiri selain meningkatkan pendapatan petani,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Cili Kulai di antara Fama dengan Peserta Ladang Kontrak Gemas.

Sementara itu, Muslim berkata seramai 25 pengusaha di seluruh Negeri Sembilan telah menandatangani perjanjian jual beli bersama Fama pada tahun ini.

“Kita akan mengadakan perjumpaan bersama dengan semua pengusaha jagung yang berdaftar di bawah program ladang kontrak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tanidi negeri ini untuk menandatangani perjanjian jual beli pada 30 Oktober nanti,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR