‘Seri Mahkota’ adalah tengkolok yang diolah khusus daripada gaya rupa bentuk tengkolok lama almarhum ayahanda baginda Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah ke-27.

Penyolek tengkolok Mohd Zairul Fairuz Zakaria, 40, anak jati Kedah dari Titi Haji Idris, Pendang, mengakui bahawa tugasan menyiapkan tengkolok yang merupakan pelengkap kepada persalinan diraja itu bukan tugas mudah.

Tengkolok ‘Seri Mahkota’ yang diolah khusus untuk Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah. (Foto: Bernama)

Beliau yang mempunyai kira-kira 12 tahun pengalaman dalam seni mengikat atau menyolek tengkolok berkata, penting untuk menghasilkan tengkolok yang bukan sahaja bersesuaian dengan bentuk muka malah perwatakan serta peribadi si pemakai.

“Seri Mahkota adalah olahan daripada tengkolok lama Sultan Kedah (Almarhum Sultan Badlishah) disolek sesuai dengan bentuk wajah Tuanku Sultan Kedah agar tampil lebih kemas dan segak,” katanya kepada Bernama.

ILHAM GUNUNG JERAI

Mohd Zairul juga pernah menghasilkan destar ‘Dendam Tak Sudah’ untuk Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Berkongsi maklumat, beliau menjelaskan bahawa destar ‘Dendam Tak Sudah’ berasal dari Negeri Sembilan dan dipakai oleh beberapa sultan Tanah Melayu sebagai Mahkota Raja, selain sultan yang menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Malah destar ‘Dendam Tak Sudah’ juga pernah dipakai oleh Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sewaktu baginda ditabal 59 tahun lalu sebagai Sultan Kedah ke-28.

Menyambung kisah menyolek tengkolok ‘Seri Mahkota’, Mohd Zairul yang menetap di Kuala Lumpur berkata beliau menghabiskan masa selama lima hari di Gunung Jerai di Yan, terletak kira-kira 42 kilometer dari Alor Setar, untuk mencari ilham.
“Sambil mencari ilham, saya sentiasa berdoa kepada Allah agar semuanya lancar. Lima hari tinggal di gunung yang tenang dan harmoni, saya berjaya menyiapkan tengkolok itu dengan penuh tertib,” jelas pemilik syarikat Kazanah Warisan Al Fairuzi itu. Produk utama syarikatnya adalah cenderahati berasaskan songket yang disolek menjadi tengkolok khusus untuk pelbagai majlis.

LIMA ELEMEN UTAMA

Mohd Zairul berkata, nama ‘Seri Mahkota’ membawa maksud kebaikan sifat dan keperibadian Tuanku Sultan Kedah manakala warna kuning melambangkan warna diraja.

Tengkolok disolek menggunakan songket tenunan tangan sepanjang satu meter berwarna kuning dan berbenang emas.

Lima elemen utama yang boleh dilihat di ‘Seri Mahkota’ adalah asas lima susun sirih, simpulan lipat sirih, layar kasih, tunas kasih, lambang kuasa dan rupa serta gaya.

“Asas lima susun sirih melambangkan lima perkara iaitu menjunjung syariat, mendukung adat, memimpin dengan hemat, berdaulat sepanjang hayat serta bersemayam dalam rahmat dan berkat.

“Lipatan sirih yang ada pada tengkolok ini hanya dipakai oleh raja-raja Melayu dan bangsawan pada zaman dahulu, yang bermaksud adat dan adab kemelayuan,” jelas beliau.

Sementara itu, ‘layar kasih’ yang menyerupai gerak lapis ketika rukuk dan sujud ketika solat mengambil resmi padi yang makin berisi makin menunduk atau melambangkan sifat tawaduk.

Selain itu, terdapat juga ‘tunas kasih’ yang terletak lebih tinggi daripada ‘layar kasih’ pada tengkolok itu, melambangkan huruf alif yang bermaksud Allah yang Maha Esa.

“’Lambang kuasa’ yang hujungnya terletak betul-betul berhampiran mata kiri pemakai tengkolok bermaksud raja memerintah.

“Akhir sekali adalah rupa dan gaya tengkolok itu yang membentuk bulatan bermaksud pemakai selaku pemerintah yang sentiasa mengawal dan menaungi rakyat,” katanya.

Dalam menghasilkan karya penting itu, Mohd Zairul turut berbincang dan meminta pendapat rakan penyolek tengkolok di Kedah termasuk Mohd Yatim Mustaffa terutamanya daripada aspek falsafah atau simbolik tengkolok berkenaan.

“Dalam seni pembuatan tengkolok ini, kita juga menyelitkan aspek falsafah Islam dan raja, serta beberapa elemen simbolik yang tidak dapat dipisahkan,” tambah beliau.

SABAR DAN TELITI

Menjelaskan mengenai perbezaan dalam menghasilkan tengkolok untuk Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Kedah, Mohd Zairul berkata, pembuatan tengkolok bagi Yang di-Pertuan Agong lebih mudah kerana destar ‘Dendam Tak Sudah’ diwarisi daripada pemakaian Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama sehingga Sultan Muhammad V.

Beliau mengambil masa selama lapan jam untuk menyiapkan destar berkenaan dan disiapkan sepenuhnya di bawah pemerhatian pegawai bertanggungjawab di Istana Negara.

Berbeza dengan tengkolok ‘Seri Mahkota’ yang baharu dan tidak pernah disolek mahupun dilihat oleh sesiapa sebelum ini, justeru mengambil masa agak lama dan memerlukan penelitian serta kesabaran yang tinggi.

Bagaimanapun, beliau berbangga diberi peluang menyolek tengkolok itu kerana,”Tidak semua orang mendapat peluang seperti ini, lebih-lebih lagi apabila dapat berbakti untuk Sultan Kedah,” katanya.

SOLEK 40 TENGKOLOK

Mohd Zairul bukan sahaja perlu menyiapkan tengkolok untuk Sultan Kedah, malah kira-kira 40 tengkolok lain untuk kalangan kerabat diraja, Menteri Besar, Datuk Bergelar dan Pegawai tertinggi kerajaan, sempena istiadat pertabalan pada 22 Oktober ini.

Tengkolok ‘Junjung Mahkota’ direka bentuk untuk Raja Muda yang asasnya diambil daripada tengkolok Kedah bergelar ‘Lambung Belalai’ – rupa seakan-akan seekor gajah sedang melambung belalainya ke atas kepala.

“Bagi Tunku Bendahara pula, saya menghasilkan tengkolok ‘Tanjung Bendahara’, yang merujuk kepada sebuah daerah di negeri ini,” katanya.

Selain itu, tengkolok ‘Bunga Layar’ diilhamkan daripada bentuk tengkolok laksamana lama negeri Kedah yang disesuaikan dengan lenggok dan perubahan masa kini pula akan dipakai oleh Tunku Laksamana Kedah.

Mohd Zairul turut menghasilkan tengkolok-tengkolok ‘Serampang Kedah’ untuk Menteri Besar, ‘Sri Bijaya Indera’ (Setiausaha Sulit Sultan), ‘Bunga Tanjung’ (Setiausaha Kerajaan Negeri), ‘Perdana Setia’ (Datuk Bergelar) serta Tengkolok Dayung untuk kerabat-kerabat diraja.

(Video: Bernama WebTV, Youtube)

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR