Pernah dengar nama tokoh politik dan ahli strategi tentera terkenal yang hidup dalam zaman Zaman Tiga Kerajaan, bernama Zhuge Liang (181-234 masihi)? Beliau mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin yang baik disebabkan akhlak dan kebijaksanaannya. Beliau boleh dijadikan idola sebagai pemimpin berkaliber yang dihormati dan disayangi rakyat jelata. Teruskan baca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang diri beliau yang pasti membuat anda kagum.

Zhuge mempunyai seorang guru yang bernama Shuijing. Gurunya itu membela seekor ayam jantan yang dibiarkan berkeliaran di halaman rumah. Setiap hari, pada waktu tengah hari, ayam itu akan berkokok sebanyak tiga kali. Shuijing akan menamatkan pengajarannya apabila mendengar suara kokokan itu.

Namun, Zhuge nampaknya tidak puas menimba ilmu daripada guru yang disayanginya itu. Oleh itu, beliau mendapat akal supaya dapat lebih lama dengan gurunya. Dia menjahit poket kecil di seluarnya dan diisikan dengan beras. Sebaik sahaja ayam itu mula hendak berkokok, dia akan menabur beras itu di luar tingkap. Dapatlah beliau belajar lebih lama lagi!

Akhirnya, taktik bijaknya itu dapat dihidu oleh gurunya. Malangnya, gurunya ingat beliau sengaja hendak mempermainkan dirinya. Zhuge dihantar pulang ke rumah. Isterinya yang tahu akan hal itu, menceritakan kejadian hal sebenar kepada Shuijing.

Gurunya mengakui Zhuge seorang yang bijak dan rajin, beliau juga amat sukakannya. Beliau hendak mengetahui dengan lebih mendalam karakter anak muridnya. Oleh itu, beliau menyuruh seorang pekerjanya pergi menyiasat di rumah Zhuge di Longzhong (Bandar Nanyang). Akhirnya, pekerja itu pulang dengan membawa tiga cerita menarik tentang Zhuge Liang.

Zhuge seorang anak yang setia. Dia sanggup berbaring di katil ibunya untuk memanaskan katil itu sebelum ibunya tidur. Ibunya tidak tahan sejuk. Maka, setiap malam, Zhuge akan ke gunung untuk mencari rumput yang jarang dijumpai lalu ditaburkan di atas katil itu.

Selain itu, Zhuge juga berperikemanusiaan terhadap jiran-jirannya. Berdekatan rumahnya terdapat sebuah perigi dan untuk ke sana beliau perlu melalui dua petak kebun sayur-sayuran. Oleh kerana, tubuhnya yang rendah, beliau takut tanaman itu akan rosak terkena baldi yang dijinjitnya. Justeru, dia sanggup berjalan jauh demi mahu menjaga hati jiran-jirannya.

Sebelum menimba ilmu dengan Shuijing, dia selalu belajar dengan seorang lelaki muda yang tinggal berdekatan. Namun, selepas ilmunya lebih tinggi daripada lelaki itu, dia tetap menghormatinya dan melayannya dengan baik.

Selepas mendengar ketiga-tiga cerita tersebut, gurunya berkata bahawa Zhuge Liang akan berjaya dalam hidupnya. Shuijing meminta pekerjanya untuk membawanya ke rumah anak muridnya yang berakhlak tinggi itu, dia ingin menjemputnya sendiri.

Betul apa yang dikatakan oleh Shuijing! Tidak berapa lama selepas itu, Zhuge Liang menjadi seorang perdana menteri yang berkaliber dan tentera yang cekap. Pengajaran daripada kisah ini ialah, selain berpengetahuan tinggi, seseorang itu juga perlu mempunyai moral yang tinggi jika hendak berjaya.

 

Share
Kategori: Budaya

VIDEO POPULAR