Anda tentu tidak biasa dengan nama Mohandas Karamchand Gandhi, bagaimana pula dengan Mahatma Gandhi (1869-1948)? Anda mesti akan terbayang figura yang disegani dunia yang hanya sering memakai kain putih yang melilit tubuhnya (dhoti) dan sepasang capal. Tahukah anda kain yang dipakainya itu ditenunnya sendiri kerana tidak mahu masyarakatnya bergantung kepada industri tekstil barat? Mengagumkan!

Dia sering berpenampilan seperti seorang yang berkasta rendah supaya beliau dapat mendekati segenap lapisan masyarakat di India. Malah, beliau juga menolak sistem kasta yang diamalkan di India kerana tidak mahu manusia mendapat layanan dan keistimewaan secara berbeza-beza.

Ikon keamanan dunia ini cukup dikenali dengan kehidupannya yang sederhana dan sentiasa memikirkan nasib rakyat jelata berbanding dirinya sendiri.

Selama berdekad-dekad, rakyat di India memberi kehormatan kepada beliau sebagai ‘bapa kepada negara’. Pengajaran terulung yang ditinggalkan sebagai legasinya ialah hanya melalui keamanan dan cinta, dunia boleh berubah dengan sebaik-baiknya.

Nama Mahatma yang merupakan suatu gelaran dalam bahasa Sanskrit bermaksud ‘jiwa yang besar’. Gelaran itu amat bertepatan dengan peribadinya yang sopan santun, merendah diri, tidak sukakan keganasan dan gemar tersenyum.

Walaupun tidak mendapat sebarang Anugerah Nobel, namun yang pasti dirinya merupakan salah seorang manusia paling berpengaruh pada abad ke-20. Perjuangannya berdasarkan keamanan tanpa menggunakan kekerasan dikagumi seluruh dunia. Gandhi mendapat pelbagai pengiktirafan apabila berjaya mendapatkan kemerdekaan buat India daripada kolonial British.

Pemikiran dan falsafahnya telah membuka mata dunia. Antara kata-katanya yang terkenal ialah:

“Happiness is when what you think, what you say, and what you do are in harmony” (Kebahagiaan ialah apabila apa yang anda difikirkan, yang diucapkan dan tindakan yang dibuat dalam keadaan harmoni)

Kata-kata ini juga sudah menggambarkan beliau ialah seorang yang sukakan keselarasan dari segi pemikiran, percakapan dan tindakan. Seseorang yang tidak sekata dari salah satu aspek itu, merupakan manusia yang sukakan keganasan, mementingkan diri sendiri dan tamak.

Dua prinsip yang dipegang oleh beliau sehingga ke akhir hayatnya ialah ‘satyagraha’ dan ‘ahimsa’. Prinsip ‘satyagraha’ ialah perjuangan berdasarkan kebenaran tanpa menggunakan  kekerasan. Prinsip ini telah dijadikan inspirasi oleh generasi pendukung demokrasi dan anti-perkauman seperti Martin Luther King dan Nelson Mandela. Manakala, prinsip ‘ahimsa’ pula ialah perjuangan melalui kekuatan cinta dan kasih sayang.

Dunia pada hari menyaksikan keganasan di merata tempat atas pelbagai alasan yang menghalalkan tindakan mereka. Merebut kuasa kepimpinan, membunuh tanpa perikemanusiaan dan sebagainya, pasti membuat tokoh nasionalisme itu sedih jika beliau masih hidup.

Memetik kata-kata agungnya, apabila kekerasan dibalas dengan kekerasan, hanya akan melahirkan kebencian dan melahirkan permusuhan baharu. Gandhi telah meninggalkan pengajaran yang terbaik buat semua iaitu memperjuangkan sesuatu berdasarkan kebenaran tanpa melibatkan pertumpahan darah.

 

Share
Kategori: Budaya

VIDEO POPULAR