Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan kewujudan kira-kira 2,700 pelbagai jenis outlet pemasaran di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata sehingga Ogos tahun ini, FAMA telah membangunkan sebanyak 2,698 outlet pemasaran daripada pelbagai jenis projek antaranya Pasar Tani, MyFarm Outlet dan Agrobazaar Kedai Rakyat.

“Sebanyak 50 outlet pelbagai projek akan ditambah hingga hujung tahun ini, bajet sudah ada cuma kita sedang mengkaji dan mencari tempat yang strategik untuk pembukaan outlet yang baharu.

“Peningkatan memang paling banyak bagi projek-projek ini contohnya Pasar Tani di mana sebelum ini ketika mula-mula dilancarkan pada 1975 hanya ada 17 tempat untuk pasar tani namun kini kita sudah ada 734 (2018),” katanya pada sidang media selepas sambutan ulang tahun ke-53 FAMA di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah FAMA, Mansor Omar.

Sementara itu, Mansor berkata pihaknya menyasarkan 13,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan khususnya bagi pelajar pengajian tinggi untuk program ‘New Breed Marketing Entrepreneur’. 

Katanya, program yang telah dilancarkan di Kuantan pada 15 Okt baru-baru ini menekan konsep ‘dropship’ kepada pelajar untuk mencari pendapatan tambahan menjual produk keluaran FAMA.

“Mereka yang berminat boleh memilih produk dengan peniaga AgroBazaar Online untuk mendapatkan stok sekali gus membantu untuk meluaskan pasaran produk secara dalam talian atau secara terus,” katanya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR