Kementerian Pengangkutan mencadangkan supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil alih pengurusan perkhidmatan bas ‘Go KL’ mulai tahun depan. 

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata ia berikutan kontrak kendalian sedia ada oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan tamat pada 31 Dis ini. 

Katanya pihaknya menanggung kira-kira RM12 juta setiap tahun untuk subsidi perkhidmatan bas percuma itu kepada warga kota sejak mula dilaksanakan pada 2012. 

“Dianggarkan bajet bagi tahun 2019 untuk subsidi laluan perkhidmatan bas yang sedia ada adalah berjumlah RM12.2 juta. 

“Pihak kami berharap dapat merasionalisasikan bajet pengangkutan awam darat dengan menyalurkan kos itu kepada negeri-negeri yang memerlukan kemudahan pengangkutan awam khususnya bas,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perkhidmatan bas ‘Go KL’ di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad. 

Loke berkata kira-kira 65,000 penumpang terdiri daripada 60 peratus warga tempatan dan 40 peratus warga asing menggunakan perkhidmatan bas percuma itu. 

“Memandangkan bas ‘Go KL’ merupakan ‘branding’ ibu kota dan mendapat sambutan menggalakkan khususnya dalam kalangan pelancong asing, maka perkhidmatan itu wajar diteruskan,” katanya. 

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya akan mempertimbangkan cadangan Kementerian Pengangkutan memandangkan perkhidmatan bas ‘Go KL’ dilihat dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota. 

Katanya perkhidmatan bas percuma itu juga perlu dikaji dari segi manfaatnya terhadap warga kota dan keperluan untuk meningkatkan taraf perkhidmatan kepada penumpang jika diambil alih oleh DBKL. 

“Bagi mencapai status bandar raya bertaraf dunia, perkhidmatan bas percuma kepada warga kota itu adalah perlu bagi mengurangkan pengeluaran karbon kenderaan dan mengatasi masalah kesesakan dengan lebih efektif. Namun demikian, kami perlu mempertimbangkan dan mengkaji terlebih dahulu cadangan itu,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Loke berkata pihaknya memandang serius kemalangan membabitkan tren kargo dan tren komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Stesen Tanjung Malim, pagi tadi. 

Katanya pihaknya telah mendapat laporan mengenai kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. 

“Sepatutnya perkhidmatan kereta api merupakan antara pengangkutan selamat. Saya difahamkan pada kemalangan itu ada berlaku kecederaan membabitkan penumpang. Kami berharap insiden ini tidak berulang dan tindakan seterusnya akan diambil selepas proses siasatan selesai,” katanya. 

Semasa kemalangan pukul 6.02 pagi itu, seramai 20 penumpang berada di dalam tren komuter namun hanya lima penumpang mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Kecil Tanjung Malim.

Insiden itu menyebabkan kelewatan antara 10 hingga 15 minit perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sektor utara dan kelewatan antara 20 hingga 30 minit KTM Komuter laluan Tanjung Malim-Kepong.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Tempatan

VIDEO POPULAR