Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mengetuai misi ekonomi dan pelaburan minyak sawit dan getah ke Mesir, Maghribi dan Colombia pada 21-29 Sept, 2018.

Selain kementerian itu, delegasi itu akan turut disertai wakil Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Getah Malaysia, LGM Properties Corporation, Majlis Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia.

“Objektif misi ini adalah untuk memperkukuh perdagangan selain menangani isu berkaitan. Pada masa sama, ia juga bertujuan meninjau pasaran dan peluang pelaburan khususnya bagi minyak sawit dan getah.

“Mesir misalnya merupakan pintu masuk utama untuk minyak sawit Malaysia ke negara-negara lain Afrika Utara. Maghribi pula merupakan antara pasaran berpotensi bagi import minyak sawit Malaysia,” kata kenyataan kementerian itu.

Selain itu, Shamsul juga dijadual menghadiri Persidangan Minyak Sawit Antarabangsa ke-19 di Cartegena, Colombia pada 26-28 September ini.

Pada 2017, eksport produk sawit ke Mesir berjumlah RM919.3 juta manakala Maghribi RM72.3 juta yang masing-masing merupakan 1.2 peratus dan 0.09 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskannya.

Menurut kementerian itu, Mesir dan Maghribi juga antara pasaran baharu yang berpotensi bagi tujuan eksport getah dan produknya, terutama sarung tangan getah.

Nilai eksport getah Malaysia dan produk berasaskannya ke Mesir pada 2017 adalah RM127.8 juta manakala Colombia RM82.4 juta dan Maghribi sebanyak RM29.6 juta.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR