Satu perbincangan antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan (KPM) akan diadakan bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan sistem pendidikan di sekolah-sekolah sukan dalam negara.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata kerajaan komited dalam memastikan sekolah sukan sedia ada mempunyai sistem akademik setara dengan prestasi pelajar sekolah itu dalam bidang sukan.

“Saya ada sampaikan maklumat ini kepada Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan) yang menjaga bab sekolah sukan ini untuk kita memperhalusi langkah-langkah yang patut kita laksanakan bagi menepis tanggapan buruk terhadap imej sekolah sukan.

“Kita mahu berikan komitmen untuk perkembangan sistem pendidikan sukan di Malaysia di mana sekolah itu sendiri perlulah baik, fokus bukan hanya diberi kepada sekolah harian sahaja bahkan sekolah sukan sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Syed Saddiq mengulas laporan sebuah akhbar berhubung ramai bekas pelajar sekolah sukan menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan profesional.

Menurutnya, langkah itu akan dilaksanakan segera bagi menepis tanggapan negatif masyarakat terhadap institusi sekolah sukan terutama pihak yang berminat untuk belajar di situ.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR