Penyertaan wanita dalam pasaran kerja di negara ini hanya berjumlah dua perlima daripada keluruhan tenaga buruh, walaupun separuh daripada penduduk dalam kelompok usia bekerja di Malaysia terdiri daripada wanita.

Menurut laporan Khazanah Research Institute, dalam laporan Jurang Gender Global 2017 yang diterbitkan Forum Ekonomi Dunia (WEF), Malaysia menduduki tempat ke-87 daripada 144 negara dari segi Penyertaan dan Peluang Pekerjaan, jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan pada 2016.

Dalam kalangan negara anggota ASEAN, Malaysia hanya mengatasi Indonesia (tempat ke-108), manakala kebanyakan negara di rantau ini mempunyai kedudukan jauh lebih tinggi daripada Malaysia, dengan Laos menduduki tempat ke-22, Singapura ke-27, Vietnam ke-33 dan Brunei ke-61.

“Walaupun kesedaran global tentang jurang gender yang wujud dalam pasaran tenaga buruh meningkat pada beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi lebih banyak kajian perlu dibuat tentang kedudukan wanita dalam bidang ekonomi di Malaysia,” kata laporan itu yang bertajuk ‘Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza’ dalam segmen Tenaga Kerja – Usaha Sedang Dilakukan. Laporan itu dilancarkan pengarah urusan Khazanah Nasional Berhad Datuk Shahril Ridza Ridzuan di sini hari ini.

Antara perkara penting lain yang terkandung dalam laporan itu ialah:

– jumlah lelaki dan wanita dalam kelompok usia bekerja adalah lebih kurang sama, tetapi Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (LFPR) kedua-dua jantina amat jauh berbeza.

– Pada 2017, penduduk usia bekerja Malaysia terdiri daripada 9.5 juta wanita dan 9.8 juta lelaki dan daripada jumlah itu, hanya 53.5 peratus daripada wanita menyertai pasaran tenaga buruh, berbanding 77.7 peratus daripada lelaki.

– dalam tempoh dua dekad lepas, jurang gender dalam LFPR berkurangan sebanyak hampir 38 peratus daripada 38.9 titik peratusan pada 1995 kepada 24.2 titik peratusan pada 2017. LFPR wanita meningkat 8.0 peratus kepada 53.5 peratus, sembilan kali lebih tinggi daripada peningkatan titik peratusan yang direkodkan dalam tempoh 1995-2010.

– lebih banyak wanita berada di luar tenaga buruh berbanding lelaki, dua kali ganda secara tepat, iaitu 4.4 juta wanita dan 2.2 juta lelaki.

– sekitar 69.3 peratus daripada lelaki berada di luar tenaga buruh bagi pendidikan, yang bersamaan dengan perkadaran lelaki berusia antara 15 dan 24 tahun, manakala wanita berjumlah 58.0 peratus atau 2.6 juta wanita tidak menyertai tenaga buruh kerana memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga. Secara perbandingan, hanya 3.2 peratus atau 69,800 lelaki juga berbuat demikian atas sebab sama.

– walaupun mempunyai pencapaian baik dalam bidang pendidikan, banyak wanita terhalang daripada menyertai tenaga buruh kerana perlu memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga.

– isu upah yang tidak setara seperti di tempat lain di dunia, jurang upah antara gender juga wujud di Malaysia di mana wanita mendapat upah lebih rendah daripada leklaki berlaku sepanjang masa. Pada 2013, wanita Malaysia secara purata memperoleh pendapatan 8.3 peratus lebih rendah daripada lelaki, empat tahun kemudian, kedudukan jurang upah antara gender ialah 6.2 peratus, di mana gaji bulanan dan upah min wanita dan lelaki masing-masing RM2,772 dan RM2,954.

– terdapat keperluan untuk meningkatkan keberdayaan wanita bagi membantu kemajuan negara dari segi sosial dan ekonomi.

– satu daripada sebab utama yang mendasari pola ketidaksamarataan gender di Malaysia ialah perkadaran tanggungjawab bagi kerja penjagaan tidak berbayar yang ditanggung wanita.

Laporan itu juga mengesyorkan beberapa inisiatif bagi mengurangkan cabaran yang dihadapi wanita untuk mengimbangi antara keluarga dan kerja, antara lain, pertama, kebolehubahan dalam aturan pekerjaan akan membolehkan wanita yang bersedia untuk menyertai tenaga buruh berbuat demikian dan ini boleh ditawarkan sama ada melalui waktu atau tempat bekerja secara fleksibel, kemudahan penjagaan anak di tempat kerja dan sebagainya.

Kedua, mengagihkan semula tanggungjawab keluarga antara lelaki dan wanita sama pentingnya dengan langkah lain yang dilaksanakan dalam pasaran tenaga buruh bagi membolehkan pemberdayaan ekonomi wanita, di samping memastikan institusi keluarga terus diperkukuhkan.

Memandangkan ekonomi terus berdepan dengan cabaran jangka panjang seperti penuaan penduduk dan kemajuan pesat teknologi, mewujudkan pasaran buruh bersifat inklusif dan sama rata menjadi semakin penting. Seterusnya, menangani ketegangan antara tanggungjawab penjagaan dan penyertaan wanita dalam bidang ekonomi juga sangat penting.

“Ia penting bukan sahaja bagi meningkatkan kemampuan dan peluang untuk wanita dan lelaki supaya mereka dapat sama-sama menyumbang dalam bidang profesional dan domestik, tetapi juga demi menjamin kelestarian model pertumbuhan kita dengan memastikan kesejahteraan semua pihak sentiasa dipelihara,” jelas laporan itu.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR