Pantai Chagar Hutang di Pulau Redang, Terengganu mencatatkan jumlah paling tinggi pendaratan penyu untuk bertelur di Semenanjung Malaysia.

Sebelum diwartakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Terengganu sebagai pusat pemuliharaan penyu pada 1993, kawasan pantai yang terletak di bahagian utara pulau itu adalah tempat popular bagi kalangan pengutip telur penyu untuk mendapatkan bekalan mereka.

Sejak diwartakan, aktiviti mengutip telur penyu langsung tidak dibenarkan di kawasan berkenaan, menjadikan pantai itu ‘syurga’ bagi penyu mendarat untuk bertelur.

Keadaan semula jadi yang dilindungi serta dijaga rapi membolehkan penyu bertelur tanpa gangguan manusia. 

Pantai yang sepanjang 350 meter itu dan kawasan sekitarnya ditutup kepada sebarang aktiviti pelancongan atau komersial demi menjaga landskap semulajadinya agar sentiasa kondusif untuk penyu bertelur. 

Terdapat sebuah Stesen Penyelidikan Penyu milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk menjalankan program-program pemeliharaan, pemuliharaan, kajian serta pelbagai aktiviti akademik berkaitan penyu di sini. 

Pusat berkenaan boleh menempatkan kira-kira 15 orang pada satu-satu masa. Mereka yang tinggal di situ termasuk renjer penyu, penyelidik akademik dan sukarelawan yang memantau aktiviti penyu.

 

HASIL MENINGKAT

 

Penjagaan rapi Pantai Chagar Hutang sejak 25 tahun lalu semakin menampakkan hasil. Jumlah penyu yang mendarat dan jumlah sarang yang dibina menunjukkan angka positif saban tahun.

Pada 1993, jumlah sarang yang direkodkan hanyalah 302. Kira-kira 20 tahun kemudian iaitu pada 2013 jumlah sarang yang direkodkan meningkat lebih 300 peratus kepada 1, 019 sarang.

Jumlah penyu yang direkodkan mendarat bagi 2018, sehingga minggu pertama September adalah 1,011 ekor dan 714 sarang dibina.

Kehadiran penyu turut menjadikan pantai itu lokasi yang digemari para penyelidik untuk melakukan kajian. Penyelidik dari Australia, Jepun, Kemboja dan beberapa negara lain turut menjalankan kajian mengenai penyu di sini.

Ketika artikel ini ditulis, seorang penyelidik dari Universiti Kyoto, Jepun, Yuichiro Hashimo sedang melakukan kajian mengenai proses penetasan telur penyu di dalam sarang menggunakan teknologi ultrasonic di pantai ini.

Menurut beliau, pantai ini adalah lokasi terbaik untuk beliau menjalankan kajian kerana dapat melihat tabiat penyu dalam habitatnya yang sebenar, menjadikan hasil kajian beliau lebih tepat berbanding jika dilaksanakan di lokasi lain.

 

KERJASAMA PINTAR

 

Sejak diwartakan, pengurusan Pantai Chagar Hutang dan kawasan sekitarnya diserahkan kepada Unit Penyelidikan Penyu Laut (Seatru), UMT.

Seatru menjalankan pemantauan rapi terhadap aktiviti-aktiviti pendaratan penyu, menjaga keselamatan telur-telur penyu dan menjalankan pelbagai kajian bagi memahami tabiat spesies berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Perikanan pula mengadakan lawatan berkala dan memberi khidmat nasihat serta bantuan apabila berlaku sebarang kes yang melibatkan keselamatan penyu, umpamanya Seatru akan menyerahkan penyu yang cedera untuk rawatan.

Kerjasama strategik juga diwujudkan dengan penduduk Kampung Baru Pulau Redang melalui program pendidikan alami yang dibangunkan bagi membolehkan anak-anak pulau berkenaan belajar mengenai penyu selain memupuk kesedaran terhadap pemuliharaan penyu. Kampung Baru adalah kampung utama di pulau peranginan itu. 

Beberapa pengusaha pusat peranginan di pulau itu turut menjadi rakan strategik Seatru seperti Berjaya Redang Resort yang menyediakan ruang makmal khas untuk Seatru menjalankan kajian ke atas penyu manakala Laguna Redang Island Resort pula menaja kos pengangkutan bot bagi para sukarelawan dan penyelidik Seatru.

 

DISIPLIN DI PANTAI

 

Sebarang aktiviti manusia di Pantai Chagar Hutang dikawal rapi demi melindungi penyu yang mendarat.

Meskipun terletak di Pulau Redang yang terkenal dengan aktiviti pelancongan, orang ramai tidak dibenarkan mengunjungi kawasan pantai itu, kecuali golongan tertentu termasuk mereka yang menjalankan kajian akademik, sukarelawan dan yang menghantar bekalan makanan.

Semua aktiviti yang melibatkan kehadiran manusia berkaitan di pantai itu hanya dibenarkan sehingga pukul tiga petang.

Peraturan itu penting kerana penyu akan mula menjenguk ke kawasan pantai kira-kira pukul tiga petang untuk menentukan waktu mendarat bagi tujuan bertelur.

Semakin lewat kawasan pantai dikosongkan, semakin lewatlah penyu akan mendarat.

“Emosi penyu sebelum bertelur adalah amat sensitif. Mereka peka kepada pergerakan, cahaya, bunyi, pemangsa dan sebagainya. Sebab itulah semua petugas dan sukarelawan di sini dilatih agar setiap tindak-tanduk mereka tidak akan menggangu penyu,” kata Penyelidik merangkap Ketua Seatru, Dr. Mohd Uzair Rusli.

Selain itu, langkah-langkah lain termasuk membuat rondaan pantai dalam kumpulan kecil, hanya menggunakan lampu berwarna merah ketika meronda pantai kerana mata penyu tidak sensitif kepada warna merah, dan tidak melintas di hadapan penyu untuk mengelakkan gangguan.

“Bukan sahaja kegiatan manusia yang dikawal bahkan penggunaan cahaya hanya dibolehkan pada waktu yang benar-benar perlu di tempat-tempat tertentu sahaja. Penggunaan enjin ‘generator’ berkuasa diesel juga diminimumkan kerana ia menghasilkan bunyi yang agak kuat yang boleh mengganggu penyu.”

“Faktor cahaya dan bunyi boleh mengganggu emosi penyu yang mahu bertelur jadi kami tidak mahu kegiatan di sini membuatkan penyu tidak selesa dan mungkin membatalkan niat untuk bertelur,” jelas beliau.

 

AKTIVITI SUKARELAWAN

 

Kalangan pencinta penyu pasti memasang hajat untuk berkunjung ke sana dan merasai pengalaman melihat penyu dan memahami tingkah laku penyu dengan lebih mendalam.

Namun orang ramai tidak boleh sewenang-wenangnya mendatangi Pantai Chagar Hutang. Selain para penyelidik, orang awam hanya boleh berada di kawasan pantai itu atas kapasiti sukarelawan.

Oleh itu bermula April hingga September setiap tahun, untuk setiap minggu, Seatru membuka peluang kepada 10 orang awam berusia 18 tahun dan ke atas menjadi sukarelawan dan tinggal di pusat berkenaan selama seminggu.

Yuran yang dikenakan adalah RM500 bagi pelajar dan RM800 bagi golongan lain. Hasil kutipan yuran akan digunakan untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan pusat kajian itu yang mencecah RM150,000 setahun.

Program yang diperkenalkan sejak 1998 itu memberi peluang kepada sukarelawan untuk menyertai pelbagai aktiviti berkaitan penyu seperti meronda pantai, memeriksa kesihatan penyu, menjaga telur-telur penyu dan mengawal selia pelepasan anak-anak penyu ke laut.

Menurut Mohd Uzair, program itu mendapat sambutan menggalakkan terutamanya daripada sukarelawan luar negara dan berharap lebih ramai warga Malaysia berminat untuk turut serta dalam aktiviti melindungi penyu di situ.

Maklumat lanjut mengenai Seatru dan program sukarelawan itu boleh didapati di laman sesawang www.seatru.umt.edu.my.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR