Jika pada zaman dahulu Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa, kini negeri ini kaya dengan peninggalan sejarah, budaya dan warisan pelbagai kaum termasuk Asia dan Eropah.

Bangunan bersejarah yang wujud sejak era Kesultanan Melayu Melaka termasuk yang dipengaruhi seni bina Portugis, Belanda dan Inggeris kini menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Malah, Melaka serta Georgetown di Pulau Pinang diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

Temu bual dengan pelancong yang mengunjungi tempat menarik di Bandar Hilir di sini, mendapati kebanyakan mereka sangat kagum dengan keindahan seni bina bangunan bersejarah di sini.

Namun pada masa sama mereka menyatakan kebimbangan jika pelbagai pembangunan dan komersialisasi yang pesat bakal menjejaskan nilai warisan negeri ini.

Apa yang nyata ialah terdapat pertembungan di antara bangunan lama dan baharu berikutan pembinaan pelbagai hotel dan infrastruktur bagi memenuhi keperluan sektor pelancongan yang semakin berkembang.

BAHARU DAN LAMA

Josephine Smith-Pearson, dari Essex, United Kingdom amat tertarik serta kagum dengan Kota A’Famosa dan bangunan Stadthuys yang menurutnya dijaga dan dipulihara dengan baik, walaupun berusia lebih 500 tahun.

Namun guru berusia 52 tahun itu menyatakan kebimbangannya mengenai pembangunan pesat seni bina moden termasuk pusat beli-belah dan hotel di sekitar bangunan bersejarah itu.

“Apabila mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Sejarah UNESCO, semestinya bangunan atau tapak itu dipelihara. Nampak macam ada sesuatu yang tidak kena apabila terdapat bangunan moden berhampiran seni bina berusia 500 tahun itu.

“Perlu ada cara untuk mengimbangi kewujudan infrastruktur moden agar sesuai dengan seni bina bersejarah supaya sedap mata memandang,” katanya.

Bandar Hilir mempunyai kawasan bersejarah yang agak luas, namun tambah beliau, hanya kawasan tertentu yang agak kecil kelihatan terpelihara dan menjadi tumpuan pelancong, manakala selebihnya bagaikan ‘terbiar’.

Smith-Pearson juga menyatakan keprihatinan terhadap beberapa peninggalan sejarah seperti meriam, kereta perisai dan kapal terbang yang dipamerkan di sekitar Bandar Hilir tetapi tidak dikawal ketat, justeru berkemungkinan dirosakkan oleh pengunjung yang tidak bertanggungjawab.

Tapak Warisan Dunia Melaka yang diiktiraf UNESCO mempunyai dua zon iaitu zon teras yang seluas 45.3 hektar, terdiri daripada bangunan bersejarah utama daripada tiga era penjajahan iaitu Portugis, Belanda dan Inggeris dan zon penampan seluas 242.8 hektar.

Zon teras termasuk kawasan sekitar Bukit St Paul, Bangunan Stadhuys, Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Hang Jebat atau Jonker Walk. Zon Penampan pula merangkumi sekitar Jalan Merdeka, Jalan Kota Laksamana, Jalan Munsyi Abdullah, Kampung Banda Kaba dan Bukit China.

Terdapat 3,050 buah bangunan di kedua-dua zon itu, merangkumi bangunan awam, rumah persendirian dan rumah-rumah ibadat dengan 900 daripadanya terletak di dalam zon teras manakala selebihnya di dalam zon penampan.

NILAI SEJARAH

Akemi Okada yang berasal dari Osaka, Jepun amat meminati pertembungan gaya seni bina bangunan bersejarah terutamanya rumah kedai yang dipengaruhi seni bina Belanda di kawasan Jonker Walk dan Gereja St Paul serta Kota A’ Famosa daripada seni bina Portugis.

Ahli fisioterapi berusia 42 tahun itu berkata keindahan seni bina di situ sukar ditemui di mana-mana tapak bersejarah di seluruh dunia.

Beliau bagaimanapun agak bimbang melihatkan ada bangunan serta rumah kedai yang diubah suai sehingga hilang nilai dan keindahan seni bina asalnya.

“Saya dapati ada bangunan bersejarah berusia ratusan tahun diubah suai menjadi hotel moden, kafe dan kedai tanpa diasimilasi dengan elemen bangunan asal sehinggakan hilang nilai seni bina sejarahnya.

“Tidak salah mengubah suai bangunan lama tetapi hendaklah mengekalkan nilai sejarahnya,” kata beliau lalu menambah bahawa Baba House di Jonker Walk adalah contoh terbaik rumah kedai yang diubah suai menjadi hotel tetapi nilai seni bina dan sejarahnya tetap dipelihara.

Memahami bahawa pembangunan penting bagi menyediakan kemudahan terbaik kepada pelancong, beliau berkata sebarang pengubahsuaian terhadap bangunan bersejarah perlu mengikut garis panduan ketat seperti yang ditetapkan oleh UNESCO.

NASIB KRAFTANGAN TEMPATAN

Melaka memang kaya dengan seni kraftangan tersendiri, malangnya kalangan peniaga kraf di kawasan bersejarah di sini dikatakan terpaksa membawa masuk hasil kraf dari negara luar seperti China, Indonesia dan India untuk dijual sebagai cenderahati.

Seorang peniaga cenderahati Mohd Mahadi Murad, 37, menyatakan kekesalannya kerana terpaksa menjual kraftangan dari negara luar kerana harganya jauh lebih murah berbanding hasil kraftangan Melaka.

“Saya ingin membantu mempopularkan kraftangan Melaka tapi sebagai seorang peniaga sudah tentu saya akan mencari barangan yang lebih murah supaya mudah dijual, atas sebab itu lebih 80 peratus cenderahati kraf yang saya jual adalah dari negara luar.

“Saya dalam dilema antara sayang terhadap kraf tempatan atau berniaga mencari rezeki kerana hasil kraf Melaka seperti terompah, bakul siah (bakul baba nyonya), bakul mengkuang, gasing dan keris memang berkualiti tinggi tetapi barangan ini tidak dicari atau dibeli pelancong setiap hari,” katanya dengan nada kesal.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau berharap pihak yang terlibat mengambil langkah menghasilkan cenderahati dalam bentuk lebih kecil dengan kos lebih murah agar dapat menandingi jualan kraftangan negara luar.

Dilema yang dihadapi Mahadi mengingatkan penulis kepada Abdul Karim Talib, 68, seorang pembuat gasing tradisional Melaka yang meninggal dunia pada Januari tahun ini akibat masalah jantung.

Abdul Karim, pembuat gasing tradisional generasi ketiga, pernah memberitahu betapa sukarnya menjual hasil kraf di tempat tarikan pelancong kerana terpaksa membayar komisyen yang agak tinggi kepada pengusaha pelancongan iaitu kira-kira 30 peratus daripada hasil jualan.

Beliau mengeluh kesal dengan sikap pengusaha tempat pelancongan itu yang tidak memberi sokongan bagi membolehkan gasing Melaka menembusi pasaran sektor pelancongan negeri ini.

Melaka menerima 8.73 juta pelancong bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 8.14 juta bagi tempoh sama tahun lepas. Bagi sepanjang tahun lepas, 16.79 juta pelancong mengunjungi negeri ini dan kerajaan negeri menyasarkan 17 juta pelancong untuk 2018.

Kerajaan Melaka menetap tahun hadapan (2019) sebagai Tahun Melawat Melaka dalam usaha memperkasa sektor pelancongan negeri ini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR