Kuching akan menjadi tuan rumah Anugerah Televisyen Asia (ATA) ke-23 pada 11 dan 12 Jan tahun depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini. 

Acara itu akan dihoskan bersama ATV Awards Sdn Bhd dan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.

Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bersempena acara itu, Sarawak akan menjadi tuan rumah kepada lebih 500 anggota perwakilan antarabangsa daripada industri hiburan.

“Ini termasuk penerbit dan pengarah filem, penghibur, hos, hakim, calon, selebriti dan penaja utama terkemuka daripada negara peserta dari seluruh Asia,” katanya ketika membuat pengumuman tentang acara itu pada sidang akhbar bersama dengan pengerusi Asian Television Awards (ATA) Lee Keen Whye di sini hari ini.

Beliau berkata selain menyampaikan anugerah kepada selebriti yang terpilih, acara dua hari itu juga bertujuan mempromosi Sarawak kepada selebriti dari seluruh dunia.

Menurut beliau, acara itu akan menyaksikan penyampaian anugerah kepada pemenang dalam 43 kategori, di samping memberi pengiktirafan kepada persembahan dan program terbaik serta kecemerlangan penerbitan dalam industri televisyen Asia.

Sementara itu, Lee berkata saluran televisyen dari 22 negara akan menyiarkan secara langsung acara berkenaan, yang dijangka disaksikan dua bilion penonton.

“Kami amat mengharapkan sokongan daripada Pelancongan Sarawak agar para selebriti dapat mempelajari tentang budaya yang terdapat di Sarawak melalui peluang yang diberi kepada mereka untuk meneroka bandar raya ini,” katanya.

Abdul Karim akan menjadi hos majlis makan malam gala pada hari pertama acara itu, manakala persembahan secara langsung akan diadakan pada hari kedua, yang disusuli persembahan konsert awam pada 13 Jan bertempat di Panggung Udara di Jalan Budaya di sini.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR