Sebanyak 30 pasukan dari 12 negara akan menyertai Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa tahun ini sempena Festival Waterfront Kuching dan Regatta Sarawak yang akan berlangsung dari 26 Okt hingga 4 Nov.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival selama dua minggu itu akan menampilkan Perlumbaan Naga Antarabangsa pada 26 hingga 28 Okt, diikuti oleh Regatta Sarawak dari 2 hingga 4 Nov.

“Terdapat 30 pasukan dari 12 negara, termasuk dari Malaysia, Indonesia, China, Brunei dan Thailand tahun ini berbanding hanya 10 negara yang menyertainya tahun lepas,” katanya pada sidang media sempena Festival Waterfront Kuching-Regatta Sarawak 2018.

Pada majlis itu, beliau menerima “mock cheque” berjumlah RM1 juta daripada pelbagai penaja bagi Festival Waterfront Kuching-Regatta Sarawak tahun ini.

Abdul Karim berkata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka melancarkan Regatta Sarawak pada 27 Okt manakala Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud akan merasmikan majlis penutup pada 4 Nov.

Sepanjang festival ini akan diadakan acara sukan air, pesta makanan, festival kraf dan persembahan pentas,” katanya.

“Kami menjangka Regatta Sarawak tahun ini menarik ramai pengunjung dari seluruh dunia kerana mereka bukan sahaja akan menyertai Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa tetapi juga terlibat dalam menjual kraf dan produk dari negara mereka sendiri,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR