Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memantau kerja-kerja pemulihan kerosakan di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) di Kuantan, Pahang.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau menyambut baik usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memberi jaminan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Terima kasih @JKRMalaysia. Saya akan pantau perkembangan ini. Belum sampai enam bulan tetapi kecacatan dah lebih 800 direkodkan.

“Kita kena proaktif dalam memastikan segala kerosakan dan kecacatan dibetulkan. Jangan sampai kerajaan perlu bayar lagi sekali untuk membetulkan keadaan,” jelas Syed Saddiq menerusi entri terbaharu dalam laman twitternya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media daripada JKR semalam, yang mengesahkan kontraktor dilantik untuk projek pembinaan AMD, MMN Bina Sdn Bhd perlu bertanggungjawab terhadap kerosakan berlaku di akademi berkenaan.

JKR memaklumkan MMN Bina Sdn Bhd perlu bertanggungjawab terhadap kerosakan berlaku di akademi berkenaan berdasarkan Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) projek itu selama 24 bulan bermula 31 Mac 2018 hingga 31 Mac 2020 yang dipersetujui kedua-dua pihak tersebut.

JKR menjelaskan tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat berkenaan sejajar dengan peruntukan terma-terma kontrak.

Jumaat lepas, Syed Saddiq dilaporkan membuat lawatan mengejut ke akademi berkenaan dan kecewa dengan pelbagai kepincangan di AMD yang dibina dengan kos RM85 juta.

Antaranya termasuk beberapa kemudahan di akademi berkenaan tidak diselenggara dengan baik selain beberapa kerosakan fasiliti yang berlaku di akademi itu.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR