Agrobank menyasarkan untuk mencapai jumlah imbangan terkumpul RM1 bilion di Sabah tahun ini, peningkatan 16 peratus berbanding tahun lepas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, hingga September tahun ini, bank itu mencatatkan jumlah pembiayaan terkumpul kira-kira RM960 juta di negeri ini.

“Sabah dilimpahi dengan banyak industri pertanian, daripada perikanan hingga kepada minyak sawit, manakala durian semakin meningkat.

“Jadi, kami mempunyai banyak bidang di mana kami sebenarnya dapat menyokong pelanggan kami (untuk mencapai sasaran),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Agenda Agro Agrobank, program perkongsian pengetahuan di sini hari ini.

Syed Alwi berkata, bank itu akan memperkenalkan produk dan inisiatif baru selaras dengan objektif Kementerian Pertanian dan Asas Tani, terutama dalam menangani isu-isu utama dalam sektor pertanian.

Menurutnya, ketika dunia diancam ketidakjaminan makanan global, Malaysia harus berusaha ke arah jaminan makanan dan kecukupan sendiri dalam pelbagai segmen seperti industri ruminan, beras dan produk tenusu.

“Nilai import di Malaysia tahun lepas adalah RM51 bilion. Oleh itu, kementerian sedang mengkaji bagaimana kita boleh mengurangkan bil import makanan supaya kita dapat mempromosikan pengeluaran pertanian di Malaysia.

“Agrobank gembira dan berminat menjadi sebahagian daripada keseluruhan sektor ekonomi ini dan mempromosikan keseluruhan agenda kemapanan pertanian,” katanya. Lebih daripada 100 pelanggan Agrobank di Sabah menghadiri Agenda Agro itu, yang merupakan lokasi ketujuhnya selepas Perlis, Pahang, Sarawak, Johor, Perak dan Pulau Pinang.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR