Jenazah tokoh agama Tan Sri Hassan Azhari selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini, kira-kira 9.40 pagi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan berangkat ke majlis pengkebumian itu.

Turut hadir Menteri Besar Amirudin Shari, Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Mansor, anggota keluarga, saudara-mara dan ratusan rakan Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, dengan diimamkan oleh anak Allahyarham, Prof Madya Dr Abdul Rauf.

Hassan, 90, meninggal dunia akibat kanser limfoma kira-kira 5 petang semalam di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau merupakan pendidik terkenal dalam rancangan Muqaddam pada awal 1970-an di saluran RTM selain menjadi individu yang melaungkan azan ketika kemerdekaan negara Malaysia pada 31 Ogos 1957.

Allahyarham, yang juga bapa kepada bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan pelakon Datuk Jalaluddin Hassan mempunyai 22 anak termasuk bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang telah meninggal dunia pada Disember 2014.

Sementara itu, Musa berkata hasrat bapanya untuk meninggal dunia dan dikebumikan di Mekah tidak kesampaian berikutan kesihatan bapanya yang tidak memuaskan.

“Saya pujuk ayah bahawa kesihatannya tidak membenarkan (untuk meninggal di Mekah) jadi kita di sini sahajalah (meninggal di Malaysia).

“Arwah memang lahir di Mekah dan ramai saudara maranya di sana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengebumian itu hari ini.

Mengulas lanjut, Musa yang juga anak sulung kepada Allahyarham berkata, pesanan yang akan sentiasa tersemat diingatannya ialah amanat serta nasihat bapanya supaya tidak meninggalkan solat dan sentiasa membaca Al – Quran.

“Saya berasa sedih kerana kehilangannya namun arwah pergi dalam keadaan baik.

“Selain itu, saya menzahirkan penghargaan dengan kehadiran ramai individu semasa pengebumian arwah berikutan Allahyarham mempunyai ramai anak murid,” katanya.

Bagi Jalaluddin, tentangan bapanya ketika beliau mula menceburi bidang seni adalah kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Jelas Jalaluddin, penglibatan beliau sebagai insan seni akhirnya mendapat restu selepas bapanya melihat kesungguhannya menjadikan kerjaya seni sebagai punca pendapatan menyara keluarga.

“Memang dia tentang keputusan saya untuk masuk bidang seni kerana bidang saya ini lebih kepada lakonan bukan seni yang menjurus kepada keagamaan.

” Tetapi saya buktikan pada beliau inilah satu-satunya bakat yang saya ada, sedikit anugerah dari Allah yang boleh saya gunakan untuk menyara keluarga dan akhirnya beliau terima,” katanya.

(Video: Bernama WebTV,  youtube) 
(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR