Tepat jam 10.21 pagi, penyanyi Adira, 27, selamat melahirkan anak lelaki seberat 3.8 kilogram secara pembedahan di pusat perubatan di Sungai Buloh, hari ini.

Suami Adira, Datuk Seri Adnan Abu panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kedua ibu dan anak dalam keadaan selamat dan sihat. Tambah suaminya pula, Adira bersalin awal seminggu daripada tarikh jangkaan doktor.

Persalinan kedua ini, Adira terpaksa menjalani pembedahan sekali lagi kerana bayi dalam kandungannya besar. Adira menjalani proses pembedahan juga semasa kehamilan pertamanya. Adira dimasukkan hospital 8 pagi tadi dan selepas menjalani pemeriksaan doktor mengesahkan sudah terdapat bukaan.

“Doktor tidak mahu mengambil sebarang risiko. Tambahan pula, Adira bertubuh kecil. Dalam masa sama, Adira juga bersetuju untuk melalui proses pembedahan sekali lagi” kata suami Adira ketika dihubungi Harian Metro.

Lazimnya, mereka yang melalui pembedahan buat pertama kali seeloknya berehat untuk tiga tahun sebelum merancang untuk kehamilan seterusnya. Memandangkan Adira hamil sekali lagi selepas setahun lebih melahirkan anak pertama dan kedua-duanya menjalani proses pembedahan, jadi doktor menasihatkan supaya dia berehat sebelum merancang untuk anak ketiga pula.

Insya Allah, Adira masih muda lagi. Rezeki anak tidak akan ke mana.

Teruja tak nak tahu nama anak comel ini? Kebanyakan artis sekarang ini lebih gemar memilih nama anak yang kedengaran moden sampai terbelit-belit lidah nak sebutnya, namun sebaliknya pasangan ini memilih nama klasik. Anak kedua Adira dinamakan Assan dan anak sulungnya pula dinamakan Anggerik.

Tak kisahlah nama moden atau klasik janji anak Adira sihat dan membesar menjadi anak yang soleh dan taat kepada kedua ibu bapanya.

Tahniah diucapkan kepada Adira dan suami menyambut ahli keluarga baru. Awal Muharram tahun ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran insan kecil ini. Semoga keluarga Adira dimurahkan rezeki ya. Peminat-peminat nampaknya kena tunggu dululah untuk lihat foto comel hero Adira.

Awal tahun ini seluruh Malaysia digemparkan dengan berita kelahiran puteri sulung Datuk Siti Nurhaliza, Siti Aafiyah juga dikenali sebagai Si Comel Pipi Merah, pada bulan Mac yang lalu. Rata-rata netizen menantikan berita gembira ini dari tahun lalu lagi. Apalagi, ruang komen Instagram penuh dengan ucapan tahniah daripada netizen dan peminat-peminat Datuk Siti. Ada yang sudi berikan hadiah lagi tau. Untung Siti Aafiyah, kecil-kecil lagi dah ada ramai peminat ya sayang.

Artis-artis lain seperti Nora Danish, Datin Zizie Ezette, Jihan Muse dan Mawar Karim isteri kepada Fizo Omar juga tidak terkecuali menjadi perhatian netizen dengan kelahiran anak comel mereka lebih-lebih lagi Datin Zizie yang melahirkan anak kembar.

Tahniah juga diucapkan kepada semua artis yang melahirkan anak tahun ini.

Share
Kategori: Hiburan

VIDEO POPULAR