Pasukan ragbi Johor optimis dan bersedia mempertahankan gelaran juara apabila turun beraksi pada Kejohanan Ragbi Piala Agong 2018 yang akan membuka tirainya bermula 6 Okt hingga 25 Nov depan.

Pengurus pasukan, Hasbi Zaidi Hassan berkata setiap tahun pihaknya komited dalam menyediakan pemain yang mampu menggalas cabaran serta mempunyai daya saing yang tinggi untuk membawa nama Johor di kejohanan itu.

“Alhamdulillah segala persiapan rapi yang dilakukan sejak Ogos lepas berjalan dengan lancar. Sepanjang persiapan itu kami juga mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk menilai tahap prestasi semasa pasukan.

“Selain itu kami juga mengambil pendekatan membawa masuk tiga pemain import dari Fiji di mana dua daripadanya adalah merupakan bekas pemain kebangsaan Fiji untuk memantapkan lagi pasukan kami yang hampir keseluruhannya diwakili anak jati Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media kejohanan itu di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sangat berhati-hati dalam memilih pemain import demi mengekalkan kualiti permainan pasukan dalam usaha mengekalkan kejuaraan untuk kali kedua berturut-turut.

“Kita agak cerewet dalam memilih pemain import. Apa yang kita lakukan adalah kita akan kaji latar belakang setiap pemain yang bakal diambil.

“Buat masa ini, kita sangat berpuas hati dengan setiap pemain import yang diambil. Mereka semua hebat dan ada antaranya pernah mewakili negara Fiji sendiri,” katanya yang meletakkan pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kedah, Kelantan dan Sabah sebagai pencabar utama.

Pasukan Johor muncul juara edisi lepas selepas menumpaskan Terengganu 32-29 pada aksi final di Stadium Mini, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.

Kejayaan itu adalah yang kedua selepas pertama kali memenanginya pada 2013.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR