Seorang warga emas ditemui lemas lewat malam tadi di sungai berhampiran kebunnya di Kampung Padang Tapong, di sini.

Mangsa Awang Seman, 71, dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak kelmarin selepas ke kebun dan dipercayai terjatuh dari rakit ketika cuba menyeberang sungai.

Mayat Awang ditemui kira-kira 11 malam tadi oleh anaknya Kamarulzaman, 50, yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat bersama pasukan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan orang awam.

Menurut Kamarulzaman, kehilangan arwah dimaklumkan ibunya dan gerakan mencari dilakukan oleh beberapa anggota keluarga sebelum bertindak membuat laporan kepada bomba.

“Selalunya pukul 6 petang arwah akan balik ke rumah namun pada kali ini tidak muncul. Jadi saya ke sungai berhampiran kebun dan melihat rakit yang sering digunakan arwah ayah berada di tengah-tengah sungai. Kebiasaannya ayah akan menaiki rakit dari Kampung Mata Air untuk menyeberangi sungai sejauh tiga kilometer ke kebunnya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian lewat malam tadi.

Kamarulzaman berkata ayahnya telah beberapa hari tidak sihat namun tetap pergi ke kebun meskipun dilarang oleh anggota keluarga.

Sementara itu, Komander Operasi, Ketua Cawangan, Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Negeri Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.17 malam.

“Kami menjalankan operasi mencari mangsa dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan juga di tepi-tepi sungai berkenaan. Mayat mangsa kemudiannya ditemui pada jarak 600 meter dari tebing sungai,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR