Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja, digantung atau diturunkan pangkat terhadap kakitangannya yang didapati bersalah terbabit dalam aktiviti jenayah rasuah dan salah laku.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali menegaskan sekali lagi bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan kakitangannya yang terbabit dalam sebarang pelanggaran integriti.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini bagi mengulas penahanan enam pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara kerana didakwa terlibat rasuah dan salah guna kuasa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)

“Penahanan ini adalah atas kerjasama antara JIM dan SPRM termasuk perkongsian maklumat risikan dan aduan untuk menangani isu-isu bolos dan penyeludupan orang di pintu masuk negara.

“Selain itu, Jabatan Imigresen juga turut bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan Polis Diraja Malaysia serta lain-lain agensi penguatkuasaan bagi menangani isu ini dengan tegas dan tanpa kompromi,” katanya dalam kenyataan itu.

Hari ini, media melaporkan dalam serbuan menerusi operasi di KLIA pada Jumaat (28 Sept), turut ditahan seorang ejen yang didakwa bersubahat dengan pegawai imigresen.

Kesemua suspek dipercayai membantu kira-kira 15 sindiket penyeludupan bagi membolehkan warga asing dan rakyat tempatan yang disenaraihitam, termasuk penjenayah untuk keluar dan masuk menerusi KLIA dan beberapa lapangan terbang lain di negara ini.

Dalam pada itu, Mustafar berkata pihaknya turut melakukan beberapa siri tangkapan terhadap pegawai-pegawai Imigresen dan sindiket yang terlibat di dalam jenayah ini di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) serta menghadapkan mereka yang terbabit ke mahkamah.

Bagi membendung masalah ini, beliau berkata Jabatan Imigresen sentiasa melakukan usaha menerapkan nilai-nilai integriti yang tinggi kepada warga kerja termasuk dari aspek pendidikan dan strategi pencegahan dari sistem prosedur kerja dengan memperkemaskan sistem serta tatacara kerja sedia ada.

Katanya, Jabatan Imigresen serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai JIM sentiasa berada di tahap maksimum dengan menjalankan program pematuhan serta kesedaran memerangi salahguna kuasa.

“Kita juga menjalin kerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM bagi memastikan matlamat ini dapat dicapai.

“Pihak Imigresen serius mengambil tindakan terhadap sindiket pemerdagangan orang dan penyeludupan migran sebagaimana tindakan yang telah dan terus diambil dengan menangkap dan menghadapkan mereka di mahkamah,” katanya.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR