Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah menguatkuasakan tambang bayaran tanpa tunai mulai 10 September 2018. Sebagai permulaan kempen “Go Cashless” ini tertakluk kepada pengguna dewasa dan pelajar. Manakala kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun dan warga emas boleh mendapatkan token KTM dengan pembelian tunai di kaunter tiket kerana golongan ini layak mendapat potongan sebanyak 50%.

Orang ramai boleh menggunakan Kad Komuter Link, Touch ‘n GO atau Mykad untuk membuat tambang bayaran KTM. Sehubungan dengan ini, pihak KTM sedang memberikan dan mengeluarkan lebih sejuta Kad Komuter Link (Dewasa dan Konsesi) secara percuma sehingga 16 September ini, kata Pengurus Besar, Perkhidmatan KTM Komuter, Khair Johari Ishak.

Juga dimaklumkan, selepas tempoh ini, Kad Komuter Link akan dijual dengan harga RM5 di stesen-stesen utama KTM dan orang ramai harus membeli kad ini untuk memudahkan perjalanan mereka.

Pengguna KTM amat digalakkan untuk menggunakan Kad Komuter Link kerana mereka akan diberikan diskaun sebanyak 20% bagi setiap perjalanan. KTM juga memaklumkan kempen ini hanya tertakluk di laluan Lembah Klang sahaja.

Pelaksanaan kempen ini dijalankan untuk memudahkan perjalanan pengguna serta mengurangkan tempoh beratur untuk membeli tiket. Sering berlaku di Stesen KL Sentral pengguna terpaksa beratur panjang untuk membeli token di kaunter pembelian tiket dan ia menyebabkan mereka terlepas tren.

Rata-rata netizen menghadam dengan baik pelaksaan pihak KTM kali ini. Ramai di antara mereka menyokong pelaksanaan ini kerana ia boleh mengelakkan pengguna KTM beratur panjang untul membeli tiket serta memudahkan proses pembelian tiket.

Selain daripada penambahbaikan landasan berkembar KTM, netizen juga pertikaikan jadual waktu setiap perjalanan tren KTM. Nampaknya, isu ini masih lagi menjadi beban dan tanda soal kepada semua pengguna KTM.

Salah satu pengguna KTM berikan komen, “Tolong semak jadual perkhidmatan komuter supaya pengguna tidak perlu lama menunggu tren komuter sehingga 2 jam baru muncul.” Memang tak boleh dinafikan bahawa tren KTM masih belum tiba pada waktu tepat seperti yang dipaparkan di skrin jadual waktu di stesen dan secara langsungnya ia membebankan pengguna yang sudah merancang perjalanan mereka terlebih dahulu.

Beberapa tahun yang lepas, ada kes yang menyebabkan salah satu pengguna KTM dibuang kerja kerana selalu masuk kerja selepas pukul 9 kerana tren lambat dan KTM satu-satunya pengangkutan yang digunakan untuk pergi kerja.

Selain jadual waktu perjalanan tren KTM, ramai pengguna juga menyangkal dan megecam Kad Komuter Link dijual dengan harga serendah RM5, namun tambah nilai bagaikan mencekik darah. Ada yang bandingkan dengan kad LRT juga. Kad dibeli dengan harga RM10 tapi bila nak tambah nilai harga dah mencecah RM100 hingga RM150.

Jadi, apakah pandangan orang lain dalam pelaksaan ini? Dengan beberapa langkah penambahbaikan KTM, adakah anda rasa lepas ini KTM akan berjalan dengan lancar atau keadaan masih akan kekal seperti dulu? Kepada sesiapa yang belum ada Kad Komuter Link bolehlah dapatkan secara percuma sehingga 16 September.

Jom kongsikan pandangan anda tentang isu ini terutamanya mereka yang sentiasa menggunakan perkhidmatan KTM.

Share
Kategori: Ekonomi

VIDEO POPULAR