Sejak lebih 20 tahun lalu, kehadiran lelaki bermotosikal ini sering dinantikan penggemar putu mayang di sekitar bandar raya ini.

Abu Bakar Rajab, 58, mula menjual putu mayang hasil resipi yang diperoleh ketika ‘berguru’ dengan beberapa penjual semasa bekerja di Kedah.

“Resipi ini saya belajar di Kedah sekitar 1992, saya belajar dengan lebih tiga orang guru kaum India sebelum betul-betul mahir dan mulakan sendiri perniagaan menjual putu mayang di Kedah. Apabila kembali semula ke Kuching saya ambil keputusan untuk menjual putu mayang di beberapa lokasi seperti di Jalan Gambier, Lebuh India dan Tabuan Melayu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Abu Bakar akan menggunakan motosikal dengan meletakkan putu mayang di dalam bekas khas di bahagian belakang kenderaan dua roda itu untuk ‘berjajak’ (bahasa Melayu Sarawak bermaksud berjual dari satu lokasi ke satu lokasi) 

“Sewaktu mula menjual putu mayang lebih 20 tahun lalu, agak sukar untuk beli makanan tradisi masyarakat India ini di sekitar Kuching. Kalau ada pun, mereka terus menggunakan mihun sebagai bahan utama berbanding saya mulakan proses membuat menggunakan bahan-bahan seperti tepung beras dan lain-lain sehingga akhirnya menghasilkan putu mayang,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

Ketika temu bual ini diadakan, Abu Bakar yang fasih bertutur Hokkien, Melanau, bahasa Inggeris dan Melayu Sarawak tidak jemu-jemu menyapa orang ramai yang lalu-lalang supaya membeli putu mayang jualannya itu.

“Mulut kena rajin panggil orang, kita berjaja tak boleh duduk diam tunggu orang datang. Itu antara teknik komunikasi saya untuk lariskan jualan,” katanya yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang,

Abu Bakar berkata sejak mula menjual putu mayang, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mengakui pendapatan diterimanya itu turut menjadi punca rezeki untuk menyara keluarga hingga berjaya membantu anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Ketika memulakan perniagaan ini, faktor tekanan serta kesempitan hidup mendorong saya untuk beranikan diri ditambah pula pengalaman pernah menjual putu mayang serta memiliki resipi daripada guru yang betul, saya nekad menjual makanan ini,” katanya yang tinggal di Kampung Gersik.

Bermula daripada sekadar berjual menggunakan sebuah motosikal, Abu Bakar boleh berbangga apabila perniagaannya itu semakin berkembang baik dan kini memiliki enam pekerja dan empat lagi gerai cawangan.

“Empat gerai itu terletak berhampiran Pasar Raya Emart Taman Sukma; Pasar Raya Choice Ria, Jalan Astana; Pasar Tani MJC dan Pasar Minggu Satok, manakala saya sendiri akan bertukar lokasi jualan mengikut ‘mood’.

“Kami meniaga setiap Khamis hingga Ahad, putu mayang ini dijual pada harga RM2 untuk empat keping, sekiranya empat cawangan dan saya sendiri berniaga serentak kami mampu menjual kira-kira 50 kilogram putu mayang sehari, putu mayang ini modalnya kecil, pendapatan pun kecil tetapi hari-hari ada duit masuk,” katanya.

Ditanya penerimaan orang ramai sehingga mampu bertahan lebih 20 tahun, Abu Bakar bersyukur perniagaan kecil-kecilannya terus mendapat sambutan ramai.

“Bab makanan kita tidak boleh menipu sebab ada rasa, bila pelanggan dah beli tahu kualitinya mereka akan datang lagi, sebaliknya kalau tidak sedap tak akan datang lagi. Bila sedap pelanggan dari Serian, Sarikei, Miri pun akan cari sebab dah tahu kualitinya,” katanya. 

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Wanita

VIDEO POPULAR