Akibat ingkar untuk melunaskan tunggakan gaji 44 pemainnya selain seorang jurulatih, kelab bola sepak Kuantan (Kuantan FA) telah didenda sebanyak RM 67, 500 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu dalam satu kenyataan memaklumkan selain didenda, Kuantan FA perlu menjelaskan tunggakan gaji tersebut yang melebihi RM 1.6 juta dalam tempoh 60 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Beliau menegaskan wakil kelab Pahang itu turut diberi tempoh selama 14 hari untuk membayar denda berkenaan atau berdepan hukuman berat sekiranya gagal atau enggan mematuhi tempoh yang diberikan dan keputusan tersebut tidak boleh dirayu.

Dalam kenyataan yang sama, Baljit menjelaskan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) telah didenda sebanyak RM12,000 susulan kegagalan mereka menyelesaikan tunggakan gaji lapan bekas pemainnya yang berjumlah RM377,000.

Baljit menegaskan FAP perlu menyelesaikan denda tersebut dalam tempoh 14 hari waktu bekerja selain perlu melunaskan tunggakan gaji berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh penerimaan keputusan tersebut atau berdepan tindakan tegas dari FAM.

Lapan pemain berkenaan adalah Mafry Balang, Muhammad Rafiuddin Roddin, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali, K. Reuben, Sani Anuar Kamsani, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew, Shazalee Ramlee dan Syed Adney Syed Hussein.

Turut menerima nasib sama adalah wakil Liga FAM, Kelab Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KSDBKL) yang diarahkan untuk menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM144,000 kepada 10 orang pemainnya.

Sepuluh pemain berkenaan ialah Ahmad Nazrin Ahmad Nazim, Chairi Emmier Solehaddin Abu Bakar, Muhammad Afham Zulkipeli, Mohamad Syafiq Redzuan Mohd Pauzee, Mohd Razif Abd Rahim, Muhamad Razren Mohd Jesni, Muhammad Fikri Elhan, Muhammad Hadzirun Che Hamid, Muhamad Syauki Abd Wahab dan Izzat Abd Rahim.

Baljit memaklumkan kelab bola sepak Terengganu City (TCFC) pula didenda sebanyak RM1,500 dari tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.

Ia susulan kegagalan juara Liga FAM 2018 itu untuk menyelesaikan tunggakan gaji sebanyak RM60, 000 (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dan pampasan baki kontrak sebanyak RM120, 000 kepada bekas jurulatihnya, Roshadi Wahab.

Menurut Baljit, kesemua keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat kali kesembilan Jawatankuasa Tatatertib FAM bagi penggal 2017-2021 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, baru-baru ini.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Sukan

VIDEO POPULAR