Sejumlah 10 anggota polis telah meninggalkan pos kawalan keselamatan mereka dan menghilangkan diri di bandar Faizabad, ibu kota wilayah utara Badakhshan pada Jumaat, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap polis wilayah Sanullah Ruhani.

“Sepuluh anggota polis bandar Faizabad telah hilang sejak pukul 3 pagi waktu tempatan dan ini dengan secara jelas menunjukkan bahawa mereka berpaling tadah kepada kumpulan Taliban,” kata Ruhani.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan telah dimulakan berhubung perkara ini untuk memastikan fakta tersebut.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata pejuang Taliban telah menyerang pos kawalan tersebut pada awal pagi dan menawan kesemua anggota polis terbabit bersama senjata mereka.

Militan Taliban belum membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR