Sektor pelancongan Vietnam digesa bekerja lebih keras untuk menarik 18 juta pelancong asing pada 2019, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Nguyen Ngoc Thien.

Sasaran itu ditetapkan pada satu persidangan baru-baru ini untuk mengkaji prestasi Pentadbiran Kebangsaan Vietnam pada 2018 dan merangka pelannya bagi 2019.

Thien telah meminta sektor itu memfokus kepada promosi pelancongan di pasaran utama, sekali gus memikat lebih ramai pelancong dan memastikan pertumbuhan dalam bilangan pengunjung.

Pada 2018, sektor pelancongan Vietnam menikmati hasil yang memberangsangkan dengan mencatat sejumlah 15.6 juta pelancong antarabangsa dan 80 juta pelancong domestik.

Jumlah pendapatan mencecah 620 trilion VND (kira-kira US$26.55 bilion).

Bagi tahun ini, sejumlah 380 syarikat pelancongan baharu menerima lesen perniagaan antarabangsa manakala 4,678 individu menerima lesen sebagai pemandu pelancong baharu.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR