- BL Harian - http://bldaily.my -

Tujuh orang awam maut dalam letupan bom buatan sendiri di Afghanistan timur

Tujuh orang awam terbunuh dalam satu letupan di timur wilayah Ghazni, Afghanistan, lapor agensi berita China Xinhua memetik jurucakap kerajaan wilayah pada Isnin.

“Tujuh orang awam terkorban susulan letupan sebutir bom buatan sendiri (IED) di Ghazni pada lewat Ahad,” kata Harif Noori.

Beliau berkata insiden itu berlaku ketika sebuah bas mini tersentuh IED terbabit di sepanjang sebatang jalan berdebu di kawasan Shahkhog dalam daerah Dih Yak.

Beliau menyalahkan musuh kedamaian, yang merujuk kepada kumpulan militan Taliban, untuk serangan itu.

Militan Taliban telah menggunakan IED untuk melancarkan serangan bom di tepi jalan raya dan periuk api yang menyasarkan pasukan keselamatan, namun senjata berbahaya buatan sendiri itu turut mengorbankan orang awam.

(Bernama)