- BL Harian - http://bldaily.my -

Penganggur di Labuan perlu mohon insurans pekerjaan untuk bantuan kewangan

Mereka yang kehilangan pekerjaan tahun ini terutamanya daripada sektor minyak dan gas perlu memohon Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) untuk bantuan kewangan bagi menampung kehidupan buat sementara waktu.

Menteri Sumber Manusia, M.Kula Segaran berkata kerajaan menyedari beribu orang yang bekerja dalam industri minyak dan gas di Labuan kini menganggur selepas sektor itu mengalami kemerosotan.

“Sebaik sahaja mereka diberhentikan, mereka perlu mendaftar dengan EIS untuk bantuan kewangan setiap bulan,” katanya selepas satu sesi dialog dengan Institut Latihan Perindustrian (ITI) di sini hari ini (24 Dis).

EIS berkuat kuasa 1 Jan lepas setelah Akta SIP 2017 diluluskan di Dewan Negara. Di bawah akta ini, setiap majikan dan pekerja perlu menyumbang antara lima sen hingga RM7.90 sebulan.

Kula Segaran berkata SIP yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan membantu mereka yang diberhentikan kerja menjalani latihan dan latihan kemahiran semula serta membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

“Sistem ini membawa manfaat dan telah berjaya di banyak negara seperti di United Kingdom dan Australia,” katanya.

Selain daripada itu, beliau berkata kementerian diterajuinya sedang berusaha mendapatkan dana RM3 juta untuk menyediakan infrastruktur dan membaiki bangunan ITI Labuan.

“Saya diberitahu bangunan asrama ITI retak pada bahagian tertentu dan ini mungkin terjadi semasa proses awal pembinaan bangunan itu dan kami akan menyiasat,” katanya.

Kula Segaran berkata Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) masih relevan kepada tenaga kerja dalam pelbagai sektor di seluruh negara.

(Bernama)