Polis menafikan satu maklumat yang ditularkan oleh media sosial mengenai kejadian seorang bayi perempuan maut dipukul bapanya di sebuah rumah Jalan Kampung Benggali semalam, sebaliknya mengesahkan yang bayi itu meninggal dunia kerana dilahirkan pra matang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis bergegas ke rumah berkenaan untuk membuat pemeriksaan selepas menerima panggilan telefon daripada jiran pasangan suami isteri warga asing itu pada pukul 9.45 malam semalam, memaklumkan kononnya seorang lelaki memukul anaknya hingga mati.

Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian oleh polis bersama pasukan perubatan Hospital Seberang Jaya mendapati ada seorang bayi yang di lahirkan tidak cukup bulan, dianggarkan 24 minggu, yang meninggal dunia.

“Ibu bayi itu merupakan wanita warga Indonesia berusia 30 tahun manakala suaminya warga Bangladesh, dan lelaki itu melarikan diri sebelum kehadiran polis kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya di sini hari ini.

Katanya berdasarkan keterangan ibu bayi itu, dia melahirkan bayi berkenaan pada pukul 4 pagi semalam sebelum anaknya meninggal dunia kira-kira 11 jam kemudian. 

Noorzainy berkata wanita itu mendakwa telah memberikan susu formula menggunakan botol plastik sebanyak tiga kali kepada anaknya kerana bayi itu tidak tahu menyusu badan dan semasa memberikan untuk kali ketiga, anaknya muntah serta keluar lendir dan darah melalui hidungnya.

“Berdasarkan siasatan pasangan itu gagal melaporkan kelahiran bayi mereka yang tidak cukup bulan dan telah mendedahkan bayi dalam keadaan berbahaya tanpa peralatan sokongan, selepas dilahirkan pra matang.

“Ibu bayi tidak merujuk anaknya ke hospital atas alasan tiada wang untuk rawatan anaknya dan pemeriksaan ke atas fizikal bayi yang dijalankan di HSJ mendapati tiada kesan-kesan penderaan atau pukulan ke atas bayi itu,” katanya.

Beliau berkata laporan bedah siasat mendapati bayi berusia lapan bulan ketika dilahirkan.

“Polis menahan ibu bayi itu yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri untuk siasatan lanjut dan sedang berusaha mengesan suami wanita berkenaan, di samping teman serumah mereka iaitu seorang wanita Indonesia untuk membantu siasatan,” katanya.

(Bernama)

Share
Tags: Kategori: Wanita

VIDEO POPULAR