Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memperketatkan kawalan kemasukan cili import yang tidak menepati tahap piawaian kualiti, keselamatan dan peraturan lain yang berkaitan racun perosak di pintu masuk negara, kata Menterinya Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata kerajaan telah menggantung import permit cili merah Vietnam sejak 14 Sept lepas setelah didapati mempunyai sisa racun perosak melebihi tahap yang dibenarkan namun hasil tani itu dikesan diseludup masuk untuk dijual dalam pasaran negara.

Katanya sejak penggantungan tersebut, MOA menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia (Maqis) juga bekerjasama dengan Jabatan Kastam dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempertingkatkan kawalan kemasukan serta lambakan cili import di pasaran.

“Terdapat satu kes baharu iaitu pada 17 Dis lepas. Maqis telah menahan tiga buah kontena di Pelabuhan Klang yang mengandungi cili dari Vietnam, yang dibawa bersama buah naga tanpa dokumen sah dan permit import.

“Berdasarkan pemeriksaan pada kontena terbabit, kuantiti cili yang ditahan adalah sebanyak 14,250 kilogram pada setiap kontena,” katanya kepada pemberita selepas program Back to School Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram, anjuran Agro Bank di sini hari ini.

Terdahulu pada program tersebut, seramai 500 penerima terdiri anak-anak asnaf menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti pakaian, kasut, stokin dan beg sekolah daripada Agro Bank.

Salahuddin berkata Maqis berperanan memastikan produk import pertanian yang dibawa di pintu masuk Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar supaya tidak menjejaskan sektor pertanian negara.

Beliau berkata bagi produk pertanian yang telah berada di pasaran yang didapati tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan, ia di bawah tindakan dan seliaan KKM melalui Akta Keselamatan Makanan 1983.

Semalam, KKM mengesahkan 21 sampel cili yang dijual di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Keselamatan Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 berkaitan residu racun perosak.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR