Pendaftaran lesen anjing secara atas talian seharusnya diperkenalkan di Sarawak bagi mempercepatkan pengumpulan data populasi haiwan itu, sebagai sebahagian daripada strategi bagi mengawal jangkitan rabies di Sarawak, kata Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang. 

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak sepatutnya menimbangkan cadangan itu bagi menjadikan kerja-kerja pendaftaran yang sedang dilaksanakan kini dapat dipermudahkan dan disegerakan.

“Wujudkanlah sistem pendaftaran atas talian secara pilihan, di mana selepas maklumat dihantar secara atas talian, pemohon hanya perlu tampil untuk mengambil ‘tag’ anjing selepas membuat pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yii seterusnya mencadangkan kementerian berkenaan mengkaji semula proses borang-borang permohonan bagi pelesenan anjing, pelesenan kedai haiwan peliharaan, dan juga pelesenan pemelihara anjing, dengan mengenepikan keperluan menampilkan gambar anjing yang berlesen.

Bermula 1 Dis lepas kerajaan Sarawak menguatkuasa Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Pelesenan dan Kawalan Anjing), 2018 keatas semua 26 pihak berkuasa tempatan dalam negeri, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 bagi sesiapa yang memiliki anjing tanpa lesen.

(Bernama)

Share

VIDEO POPULAR